Page 16 - BULETIN
P. 16

Tekanan Kanak-kanak Dalam Mendepani Norma Baru Covid 19
                                          Farrah Syuhaida Binti Ismail, PhD
       Penularan wabak COVID-19 yang berlarutan dan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mampu
       memberi kesan kepada emosi, sikap dan tingkah laku seseorang individu. Seperti orang dewasa, kanak-kanak
       juga berdepan dengan tekanan dalam melalui COVID-19 dan arahan PKP. Lumrah kehidupan seorang kanak-
       kanak adalah mereka suka meneroka pelbagai benda baru bersama rakan-rakan di sekolah, suka bermain
       bersama-sama, bergurau, belajar dan sebagainya. Dengan kata lain naluri seorang kanak-kanak normal adalah
       suka bersosial. Mereka tidak suka belajar dan bermain sendirian dan terkurung dalam sesuatu tempat dalam
       jangka masa yang lama.

            Namun disebabkan COVID-19 dan arahan PKP, mereka tidak boleh ke sekolah seperti biasa dan bermain
       di luar rumah secara bebas bersama rakan-rakan. Oleh itu proses pembelajaran menjadi terencat dan
       berlawanan dengan fitrah semula jadi kanak-kanak dan menggugat perkembangan sosial dan emosi mereka.
       Meskipun kanak-kanak antara golongan yang kurang berisiko dijangkiti COVID-19, namun kanak-kanak
       merupakan golongan yang paling terjejas dari segi emosi dan tingkah laku mereka. Hal ini kerana, kanak-kanak
       masih mentah dalam kehidupan dan memerlukan sokongan individu yang berada di sekeliling mereka untuk
       memahami perubahan yang berlaku. Mungkin ada ibu bapa yang tertanya-tanya sejauh mana keadaan ini boleh
       memberi impak terhadap emosi dan tingkahlaku anak-anak mereka?
            Umum mengetahui bahawa, disebabkan arahan PKP sekolah sering ditutup apabila sesuatu kawasan
       diisytiharkan sebagai zon merah. Hal ini akan menyebabkan kanak-kanak terpaksa belajar secara atas talian di
       rumah dan ada dalam kalangan mereka yang sendirian di rumah bersama adik beradik kerana ibu dan ayah
       perlu keluar mencari rezeki. Hal ini juga boleh mendorong tekanan dari dalam diri anak-anak apabila mereka
       ditinggalkan tanpa pengawasan dan pemerhatian ibu bapa. Pelbagai kejadian yang tidak diingini juga boleh
       berlakunya contohnya pergaduhan dengan adik beradik. Ada juga ibu bapa yang meninggalkan anak-anak di
       rumah tanpa meenyediakan kemudahan yang mencukupi untuk anak-anak mengikuti kelas atas talian. Hal ini
       juga boleh membawa kepada tekanan dalam diri anak-anak.
            Perbincangan di media sosial tentang Covid-19 juga kadangkala meningkatkan kerisauan dan
       kebimbangan anak-anak. Ibu bapa tidak seharusnya menganggap bahawa anak-anak mereka kerdil dan belum
       memahami keadaan yang berlaku sekarang. Walhal kanak-kanak juga mempunyai naluri takut atau bimbang
       sama seperti orang dewasa, malahan ada yang lebih. Berita tentang penularan yang cepat ini sehingga boleh
       membawa kepada kematian boleh menyebabkan kerisauan dan kebimbangan pada sesetengah kanak-kanak. Ibu
       bapa perlu memastikan emosi anak-anak tidak terganggu dengan berita yang dihidangkan setiap hari oleh
       media sosial dan ibu bapa perlu sering kali mengingatkan anak-anak bahawa keluarga dan persekitaran mereka
       dalam keadaan selamat dan ibu bapa akan memastikan mereka selamat.

            Penularan pandemik Covid-19 dan arahan PKPB juga menyebabkan ada segelintir ibu bapa terpaksa
       bekerja dari rumah. Apabila ibu bapa bekerja dari rumah dan dalam masa yang sama terpaksa memantau kelas
       atas talian anak-anak, ada ibu dalam masa yang sama harus menyiapkan kerja-kerja rumah diselangi lagi
       dengan pergaduhan antara anak-anak. Situasi ini boleh menyebabkan tekanan kepada ibu bapa dan apabila
       keadaan tidak terkawal dek kerana kepenatan, anak-anak akan menjadi mangsa untuk melepaskan kemarahan.
       Hal ini juga antara punca menyebabkan berlakunya tekanan emosi dalam diri anak-anak jika mereka sering
       menjadi tempat melepaskan kemarahan ibu bapa.

            Terbukti di sini bahawa ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam menghadapi Pandemik Covid-19
       ini kerana anak-anak akan mengikut tauladan dan sikap yang ditonjolkan oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu
       mempamerkan tauladan yang baik serta mengambil berat tentang emosi anak-anak. Jika anak yang dahulunya
       periang berubah menjadi pendiam, ini mungkin kerana si anak sedang mengalami tekanan. Jadi ibu bapa perlu
       bertanyakan anak-anak kenapa mereka kelihatan berubah, adakah mereka berasa tertekan dengan keadaan yang
       berlaku sekarang atau sebaliknya. Dengan sokongan dan perhatian ibu bapa, kebanyakan kanak-kanak dapat
       mengelakkan diri dari tekanan.
            Jika Pandemik Covid-19 berlarutan, pastinya kanak-kanak akan mengalami kesan jangka panjang dan
       sekaligus memberi kesan kepada emosi mereka. Ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan emosi anak-anak
       Mereka perlu tahu adakah anak-anak mereka terkesan dengan pandemik ini, mereka juga perlu mengajar anak-
       anak tentang SOP contohnya mencuci tangan dengan hand sanitizer serta memakai pelitup muka. Terangkan
       kepada mereka bahawa kita semua harus mengikuti arahan penjarakan sosial bermaksud berada jauh daripada
       orang lain sehingga jangkitan Covid-19 dapat dikawal. Pandemik Covid-19 yang berlarutan tanpa sokongan
       dari individu terdekat dengan mereka bukan sahaja akan menyebabkan tekanan malah juga menyebabkan
       kebosanan dan kebimbangan dalam diri anak-anak.

            Menurut Pakar Psikiatri Kanak-kanak & Remaja, Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains
       Kesihatan, UPM,Dr Rahima Dahlan @ Mohd Shafie, ibu bapa perlu merancang aktiviti atau jadual
       harian bagi mengelakkan anak-anak mudah merasa bosan dan timbul kebimbangan. Pastikan kita mempunyai
       jadual untuk mereka sepanjang berada di rumah. Selang-selikan waktu kerja rumah atau kerja sekolah dengan
       aktiviti yang menarik dan menyeronokkan di samping waktu untuk rehat. Memandangkan kuarantin di rumah
       boleh menyebabkan mereka tertekan, ibu bapa boleh merancang pelbagai aktiviti untuk anak-anak contohnya 1
       jam setiap hari untuk membuat aktiviti dengan keluarga seperti melukis, bermain permainan saidina, bersenam
       atau memasak bersama-sama. Berikan juga peluang untuk mereka berinteraksi dengan kawan di atas talian.
       Hal ini sekaligus dapat mengelakkan kanak-kanak dari bosan dan tertekan.
            Penggunaan gajet ketika pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang normal dan sangat penting. Hal ini
       kerana pembelajaran sepanjang sekolah ditutup dan semuanya adalah dalam atas talian. Namun penggunaan
       gajet biarlah bersederhana. Ibu bapa perlu limitkan dan memantau masa penggunaan gajet untuk anak-anak
       setiap hari. Contohnya anak-anak hanya dibenarkan menggunakan gajet dari jam 8 pagi sehingga 2 petang
       sahaja. Kemudian anak-anak boleh melakukan aktiviti lain yang tidak memerlukan gajet, contohnya seperti
       menonton televisyen atau membaca buku cerita. Ibu bapa juga boleh menyediakan tempat khas untuk untuk
       anak-anak belajar. Adalah penting untuk kanak-kanak mempunyai satu ruang pembelajaran sendiri kerana
       ruang ini boleh membantu mereka untuk fokus ketika belajar. Apabila mereka diberikan ruang belajar mereka
       sendiri, mereka akan lebih bermotivasi untuk menyiapkan setiap tugasan yang diberikan.
            Wabak COVID-19 merupakan satu bentuk jangkitan pandemik yang agresif walaupun tidak mempunyai
       kadar kematian yang tinggi. Oleh yang demikian, perkara yang perlu kita lakukan adalah ambil tahu dan beri
       kerjasama bagi membendung wabak ini dari terus merebak dan mengakibatkan kesan kepada emosi anak-anak.
       Perubahan yang melibatkan sesi persekolahan dan aktiviti sosial yang terhenti seketika turut memberi kesan
       kepada emosi dan tingkah laku anak-anak. Justeru Ibu bapa harus memainkan peranan yang sangat penting
       kerana ibu bapa adalah individu yang paling rapat dengan anak-anak. Kita juga tidak tahu sampai bila
       pandemik ini akan berakhir dan langkah sewajarnya perlu diambil agar emosi anak-anak tidak terjejas.
   11   12   13   14   15   16   17   18   19