Page 51 - BUKU ATUR CARA MEKAR TAHUN 2021
P. 51

UCAPAN
                       YBHG DATUK DR. MISTIRINE BINTI RADIN

                                      PENGARAH PENDIDIKAN
                            JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH





         Terima kasih saudara saudari pemudah acara, selamat pagi dan salam sejahtera.
                “Sabah Hebat, Katakan Tidak Kepada Nombor 16”
                “Katakan YA kepada 10 terbaik”
         Slogan keramat, sepakat dan muafakat kita capai bersama bak kata pepatah ‘’Ringgan sama
         dijinjing, berat sama dipikul, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’’.


                Tuan-tuan dan puan-puan. Terima kasih kepada semua yang hadir secara maya walau
         di mana sahaja tuan-tuan dan puan-puan berada, kami tidak pernah lupa, walau jauh di mata
         tetapi sentiasa dekat di minda kami semua. Majlis Anugerah MEKAR ini dilaksana sebaik
         upaya. Matlamatnya untuk mengiktiraf usaha berganda tuan-tuan dan puan-puan dengan ahli-
         ahlinya yang bijaksana dan dengan sepenuh kudrat yang ada. Syabas dan tahniah untuk
         semua yang berjaya.

                Ikan puyu ikan gelama
                Mari ditangkap di hutan paya
                Anugerah MEKAR dirai bersama
                Moga usaha terus berjaya

                Tuan-tuan dan puan-puan. Tahun beralih, bulan bertukar. Tahun 2020 merupakan
         tahun yang mencabar dan sukar. Pendamik Covid19 menguji kita semua dengan memperkasa
         pdpr. Pelbagai strategi norma baharu pendidikan diatur dan disasar. Walau banyak dugaan
         mencabar tetapi tetap ampuh bersabar. Program, aktiviti dan strategi peningkatan akademik
         dirancang dan diatur bak pagar. Menurut John C Maxwell “ A leader is one knows the way,
         goes the way and show the way”. Akhirnya hasil kejayaan PPD, sekolah, guru dan pelajar dirai
         bersama di dalam MEKAR.

                Tuan-tuan dan puan-puan. Hari ini usaha pelajar, para guru, guru besar, pengetua dan
         PPD diiktiraf cemerlang kerana kerja buat kalian bukan alang-alang. Tuan-tuan dan puan-puan
         bukan pemimpin yang calang-calang kerana tuan-tuan dan puan-puan berusaha untuk
         berkembang bukan penerus andang-andang. Tuan-tuan dan puan-puan pewaris pemimpin
         gemilang dan amat berpotensi diangkat sebagai pemimpin terbilang. Teruskan usaha dan
         kerja keras tuan-tuan dan puan-puan untuk melahirkan lebih ramai bintang.        J.K Rowling
         menyatakan,
         “We do not need magic to change the world, we carry all the power we need inside ourselves
         already : We have the power to imagine better”

                Tuan-tuan dan puan-puan. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang berjaya.
         Semoga usaha ditingkat dan diangkat hingga ke persada antarabangsa.         Jangan berhenti
         dengan kejayaan yang ada kerana kejayaan hari ini bukan untuk selama-lamanya. Kejayaan
         merupakan perjalanan yang tidak ada titik noktahnya. Semoga semua sihat sejahtera.

                Burung pipit burung tempua
                Hinggap sebentar di dahan tinggi
                Terima kasih untuk semua
                Tahun hadapan kita jumpa lagi

                                       SEKIAN DAN TERIMA KASIH.
   46   47   48   49   50   51   52