Page 110 - Koleksi Ceritera Bitara
P. 110
PULANG
Bunyi deruman enjin kereta di hadapan rumah menandakan
kepulangan walid dan umi dari kerja seharian. Umiku seorang guru di
sebuah sekolah yang terletak di bahagian pekan Sungai Petani,
sama dengan walidku juga seorang pendidik di sekolah yang
terletak di Alor Setar. Mereka sememangnya bekerja keras demi
menyara keluarga. Bak kata orang, pergi gelap balikpun gelap. Aku
bersama adikku menjemput umi dan walid di hadapan rumah
dengan senyuman. Senyuman kami dibalas dengan senyuman
pada wajah umi dan walid yang jelas menampakkan kepenatan.
Umi pernah berkata, “senyuman boleh berjangkit, bila semua orang
senyum dunia tiada penyakit”. Kini, aku sudah faham makna klausa
yang umi sampaikan, tetapi tidak semua. Beg dan segala
kelengkapan sudah aku susun di bahagian ruang tamu supaya lebih
mudah dicapai dan dimasukkan ke dalam kereta. Kami sekeluarga
sudah mengemas kelengkapan untuk pulang ke kampung semalam
kerana cuti hujung tahun sudahpun tiba. Hanya tinggal
memasukkan barang ke dalam kereta sahaja. Setelah 2 jam
perjalanan, kami pun sampai ke kampung, waktu menunjukkan jam
10 malam ketika itu. Kami terus mengangkat barang ke rumah
nenek lalu sambung berehat.
Ayam berkokok menandakan hari sudah pagi. Rumah nenek
agak jauh dari surau kampung menyebabkan azan subuh tidak
kedengaran kerana dilindung oleh bukit kecil. Seperti biasa, nenek
akan membangunkan semua orang untuk solat subuh bersama.
“Amin Ya Rabbal Alamin.” Pengakhiran doa kami bersama-sama
setelah selesai solat subuh disapa baik oleh sinaran matahari pagi.
Kedudukan rumah nenek yang terletak di atas bukit menjadikan
kawasan tersebut sebagai kawasan yang paling awal terdedah
dengan matahari. Aku dan adikku ditemani nenek mengambil
peluang bersiar-siar di kawasan bukit berhampiran rumah sambil
menikmati deruman air terjun yang terletak di bahagian hujung
sawah padi bukit. Alam semulajadi sangat menenangkan hati dan
melapangkan fikiran kami kerana aku dan adikku yang berasal dari
petempatan yang dikelilingi bangunan, ditambah dengan bunyi-
bunyian kenderaan melintas hampir setiap masa. Sedang khusyuk
kami bertiga menikmati alam semulajadi, terlihat seekor kancil
berjalan masuk ke sebatang jalan kecil di hujung sawah padi yang
lantainya hanyalah tanah merah serta diiringi oleh semak samun
sepanjang jalan. Secara spontan adikku berkata, ”Adik nak kejar
kancil itu !”. Nenek terus mencapai lengan adik sebelum dia
memulakan langkah sekaligus mengalihkan perhatian adik ke arah
air terjun yang cantik. Lalu kami bertiga berjalan menuju ke air terjun
dan menikmati pemandangan di sana sehingga tengah hari, kami
pulang ke rumah untuk menikmati makanan tengahari bersama umi
dan walid.
78

