Page 122 - Koleksi Ceritera Bitara
P. 122
TERIMA KASIH JIRAN
Pinnn…. Pinnnnnn…….
“Semua dah siapkah?” soal Pak Kamal sambil menekan hon
keretanya. Menunggu Amri dan isterinya bersiap-siap untuk
berpindah ke kampung. Sememangnya rutin yang selalu dilakukan
oleh Pak Kamal adalah menunggu anak dan isterinya bersiap.
“Ya ayah, sudah.” Amri meluru ke kereta sambil melihat
rumah yang akan ditinggalkan. Rumah yang memberi banyak
kenangan kepadanya sejak kecil. Air jernih bertakung di mata.
Akhirnya titis demi titis air matanya mengalir ke pipi. Pasti rindu
kenangan dan rakannya Zubir dan Aiman.
Amri merupakan seorang anak usahawan yang tinggal di
bandar. Namun syarikat ayahnya, Pak Kamal telah mengalami
masalah kewangan atau lebih mudah difahami syarikatnya sudah
bankrap. Oleh sebab itu, mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke
kawasan yang tidak memerlukan kos hidup yang tinggi. Mereka
mula berpindah ke kampung bagi menampung kehidupan keluarga
secara sederhana.
“Haaa, inilah rumah kita yang baharu. Ayah harap kita
dapat selesakan diri di rumah ini ya. Barang-barang yang lebih ayah
dah suruh Pak Cik Badul hantarkan naik lorinya.” Ujar Pak Kamal
sambil meninjau-ninjau kawasan rumah baharunya. Rumahnya
dipenuhi sawang dan daun-daun hijau, mungkin sudah lama
ditinggalkan.
“Baik ayah.” Amri hanya mengangguk sambil mengangkat
barangnya ke dalam rumah.
“Zalina, nanti jangan lupa buang habuk dulu. Aku ni resdung
dan alahan. Teruklah kalau habuk tu masuk dalam hidung ini.
Memang tak tenang hidup aku harini”. Ayah memang alah dengan
habuk. Pernah sekali ayah menolong rakannya mengemas rumah,
sehingga perlu ditahan dalam wad. Doktor memberitahu ayah
mempunyai penyakit alahan yang teruk dengan habuk.
“Baik bang,” ujar isterinya sambil mengelap almari yang
dipenuhi habuk. “Ayah, esok Amri dah mula sekolah ke?” tanya Amri.
“Ya, esok Amri dah boleh pergi sekolah. Sekolah Amri di
kawasan sini sahaja. Esok pagi ayah hantar Amri tapi balik Amri naik
bas ya. Ibu dan ayah sibuk minggu ini.”
Amri mengangguk.
90

