Page 132 - Koleksi Ceritera Bitara
P. 132
SI ANJING YANG MALANG
Di sebuah rumah, terdapat seekor kucing dan seekor anjing yang
menjadi haiwan peliharaan sebuah keluarga. Mereka berdua
sangat disayangi keluarga tersebut. Namun pada suatu hari,
keluarga tersebut terpaksa berpindah kerana mengalami masalah
kewangan. Mereka bercadang ingin membawa seekor sahaja
haiwan peliharaan bersama namun tidak tahu untuk memilih sama
ada si kucing atau si anjing.
“Kita lihat siapa yang masuk ke dalam sangkar dulu nanti,
dialah yang akan pindah,” anjing hanya sempat mendengar
tuannya berkata sedemikian.
Anjing pun mulai berasa risau akan nasibnya jika dipindahkan tanpa
tuan mereka. Anjing mula memikirkan strategi untuk menyelamatkan
dirinya.
“Aku kena perangkapkan si kucing supaya aku terselamat,”
salaknya. Lalu anjing pun segera bertemu dengan kucing yang
sedang bermain reben. “Kucing, kamu nak tau? Tadi aku sempat
mencuri dengar tuan kita mengatakan akan meletakkan makanan
mewah di dalam sangkar sekiranya salah seekor daripada kita
masuk ke dalam sangkar terlebih dahulu.” Kucing mula berasa teruja
mendengarnya. Anjing menyambung percakapannya, “Aku rasa
aku sudah bosan dengan makanan itu semua. Apa kata kau yang
masuk ke dalam sangkar pagi esok, mesti kau teringin mahu
makanan mewah.” Anjing mula menghasut kucing.
“Wah, terima kasih anjing! Aku memang inginkan makanan
mewah. Aku nak tidurlah dahulu supaya esok aku dapat bangun
awal untuk masuk ke dalam sangkar.” Kucing mula berangan lalu
beredar ke tempat tidurnya dengan perasaan gembira.
Keesokan harinya, kucing bangun awal dan bersiap-siap
untuk masuk ke dalam sangkar. Kucing mengiau tanda tidak sabar
ingin makan makanan mewah yang lazat. Tuannya bangun sedikit
lambat pagi itu. Kucing bersedia di kaki tangga memerhati tuannya
membukakan sangkar di luar rumah. Si anjing hanya memerhati dari
jauh sambil mentertawakan gelagat si kucing. Anjing menjelir-jelirkan
lidahnya kerana sangat berpuas hati setelah berjaya
memperdayakan si kucing. Usai memasukkan semua barang ke
dalam but kereta, tuannya kemudiannya mengangkat sangkar
tersebut dan memasukkannya ke dalam kereta. Rupa-rupanya,
kucing akan berpindah rumah ke rumah yang lebih besar dan selesa
bersama tuannya. Anjing terkebil-kebil setelah menyedari dirinya
ditinggalkan.
NUR HANI BINTI MD DIAH
100

