Page 157 - Koleksi Ceritera Bitara
P. 157
tempat yang dituju, Ela dan keluarga kecilnya segera
membentangkan tikar dan menyusun barang yang sepatutnya.
Setelah selesai, mereka sekeluarga duduk menikmati pemandangan
sungai yang begitu indah sambil mendengar bunyi arus sungai yang
menenangkan. Puas berehat, Ela mengajak Abang dan Adik
bermain di tepi sungai.
Merasa kelelahan, Ela duduk berehat di bawah pokok yang
rendang. Ela berada tidak begitu jauh dan tidak begitu dekat
dengan Ibu tapi masih boleh melihat pergerakannya dengan jelas.
Dari tempatnya, Ela mengintai gerak-geri Ibu yang pada ketika itu
sepertinya sedang bersiap-siap untuk menyediakan makan
tengahari. Sedang fokus memerhatikan Ibu, tiba-tiba Ela ternampak
air mata Ibu menitis dan bagaimana Ibu berusaha menyembunyikan
kesedihannya dengan mengesat air matanya yang jatuh berkali-kali.
Ela tertunduk sedih melihat keadaan Ibu. Ela faham benar dengan
apa yang Ibu rasakan sekarang walaupun beliau cuba untuk
menyembunyikan perasaannya.
Sebenarnya, perkelahan mereka sekeluarga ini diadakan
atas permintaan Ela. Ela merupakan seorang remaja yang paling
baik, paling cantik dan paling disayangi bagi keluarganya. Namun,
Ela menghidap penyakit leukemia tahap akhir dan tidak boleh
keluar dari biliknya di hospital apatah lagi terlalu terdedah dengan
cahaya dan udara luar. Sudah hampir setahun Ela terperap di
dalam wad dan Ela memohon untuk berkelah di luar bersama-sama
ahli keluarganya. Rawatan kemoterapi kesembilan Ela yang
dijadualkan pada minggu hadapan mengukuhkan lagi
keinginannya untuk pergi berkelah walapun sebentar bersama
keluarga tercintanya. Ela ingin menghabiskan masanya bersama
dengan ahli keluarga sebelum menjalani rawatan kemoterapi
tersebut.
Ela bangun dari tempat berehatnya kemudian meluru
memeluk Ibu. Ibu terkejut dan cuba untuk mengelap air matanya
kerana dia tidak mahu Ela melihat dirinya lemah. “Ibu, Ela sayang
Ibu.” Ucap Ela dengan nada sayu. Ibu mengangguk sedih dan
memeluk Ela dengan erat. Masa terus berdetik, begitu lama mereka
berpelukan. Tiba-tiba, Ibu merasakan longlai badan anak gadisnya
itu. Panggilan Ibu berulang-ulang kali tidak bersahut. Bagai dihiris
dengan sembilu, tangisan Ibu memecah suasana. Abang, Ayah dan
si bongsu berlari ke tempat Ibu dan Ela setelah mendengar tangisan
Ibu dan melihat Ela yang berada di pangkuan Ibu seperti sedang
lena tertidur. Ayah terus memeluk Ibu dengan erat sambil
memegang tangan Ela yang pucat bagai warna kapur. Abang dan
si bongsu hanya terduduk menangis melihat Ela yang sudah tidak
bermaya. Ibu tidak melepaskan Ela dari pelukannya. Hati mereka
pecah berderai tetapi apakan daya, ketentuan Allah itu lebih baik.
Sungguh, Ibu, Ayah, Abang dan Adik menyayangimu Ela.
DYG.KU AZIRA SHAZIRA BINTI GHANI
125

