Page 191 - Koleksi Ceritera Bitara
P. 191

SAKIT YANG DISYUKURI


                   Malam sudah larut tetapi aku masih tidak dapat memejamkan
                   mataku. Mungkin aku terlalu teruja untuk menanti hari esok tiba. Aku
                   bakal menjejakkan kaki ke sekolah buat pertama kali setelah lama
                   bercuti. Segala persiapan dan keperluan persekolahan sudah aku
                   sediakan lebih awal. Aku sepertinya tidak mahu melelapkan mata
                   pada malam ini kerana risau sekiranya aku tidak dapat bangun
                   awal keesokan hari. Aku sungguh takut akan hal ini. Aku merenung
                   keindahan bintang dari jendela kecilku. Ternyata perasaanku juga
                   sama sinar dan gemerlapannya dengan bintang-bintang itu. Aku
                   mengira satu persatu jumlah bintang di langit itu, tanpa aku sedari
                   aku akhirnya tertidur.
                          Aku mendengar sayup-sayup suara ibu di hujung telingaku.
                   Suara itu tidak aku endahkan sehinggalah ibu menyentuh pipi
                   mulusku. Aku tersentak lalu membuka mata. Mimpi gelapku kini
                   menjadi nyata. Aku telah lewat untuk ke sekolah. Kakiku tangkas
                   mengatur langkah ke bilik mandi. “Aduh, air ini sejuk sekali”, kataku
                   di dalam hati. Setelah itu, ibu segera membantuku mempersiapkan
                   diri. Ayah tidak aku temui lagi, mungkin sedang sibuk memanaskan
                   enjin keretanya. Aku berdiri dengan wajah yang riang di hadapan
                   cermin. Sesungguhnya aku sudah lama merindukan saat ini. Wajah
                   rakan-rakan dan guruku sudah terbayang-bayang di ingatanku.
                   Mereka pasti sudah tidak sabar-sabar untuk menemuiku. Setelah
                   bersarapan, aku meluru masuk ke dalam kereta. Ibu dan ayah
                   gembira melihat telatahku pagi ini. Air mata ibu berlinang lagi tanpa
                   disedari. Ibu memelukku dengan erat dan mencium dahiku. Ibu
                   berpesan untuk tidak berkelakuan nakal di sekolah. Aku angguk
                   tanda akur, tangan kanannya ku gapai dan ku cium.
                          Kelibat Nora, Ahmad dan Ravi dapat aku lihat dari jauh.
                   Mereka menunggu aku tepat di hadapan pagar sekolah. Aku
                   malambai ayah dan terus menyapa mereka. Kami bercerita
                   umpama tiada hari esok. Aku menerima layanan istimewa dan
                   perhatian sepenuhnya di dalam kelas. Semua ternanti-nanti untuk
                   mendengar kisah yang akan aku ceritakan sepanjang ketiadaanku
                   di sekolah. Cikgu Syahira memintaku berdiri di hadapan kelas dan
                   berkongsi pengalamanku. Segala pahit manis kehidupanku selama
                   hampir tiga minggu di dalam wad aku ceritakan dengan penuh
                   penghayatan. Kebersihan rumah yang diambil sambilewa telah
                   menyebabkan aku dijangkiti wabak demam denggi berdarah. Saat
                   itulah bermulanya episod hitam dalam hidupku apabila aku
                   terpaksa menghabiskan hampir tiga minggu di hospital. Nilai
                   kebersihan yang aku abaikan itu akhirnya memakan diri. Aku
                   berpesan kepada rakan-rakan dan juga guruku untuk tidak
                   mengulangi    kesalahanku.   Aku   tidak  mahu    melihat   mereka
                   merasakan pengalaman pahit yang sudah aku lalui itu. Aku



                                                                                159
   186   187   188   189   190   191   192   193   194   195   196