Page 33 - Koleksi Ceritera Bitara
P. 33
PENGENALAN PANTUN
Pantun merupakan puisi tradisional yang digunakan secara
meluas sejak zaman dahulu sehingga kini sebagai suatu bentuk
pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap
seseorang. Pantun merupakan warisan bangsa Melayu yang sangat
tinggi nilai estetikanya dan menjadi simbol artistik masyarakat
Nusantara serta lambang kebijaksanaan berfikir. Pantun bukan
sahaja dijadikan sebagai hiburan tetapi dalam hiburan terdapat
unsur-unsur seperti nasihat, dan peraturan-peraturan hidup yang
membimbing anggota masyarakat.
Pantun Melayu terbina dalam bentuk berangkap dan
mengandungi bahagian pembayang serta maksud. Terdapat
beberapa bentuk pantun seperti pantun dua baris, empat baris,
enam baris, lapan baris dan 12 baris. Kebiasaannya, pantun
dijadikan sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan isi hati dan
hajat seperti ucapan selamat kepada seseorang dalam sesuatu
upacara atau majlis rasmi. Oleh yang demikian, dapat dilihat
bahawa pantun bersifat ringkas, romantik dan mampu
mengetengahkan aspirasi masyarakat dengan lebih jelas.
1

