Page 7 - SK Tahun 6 Sains
P. 7
PENDAHULUAN
Kandungan buku teks Sains Tahun 6 SK ini ditulis berdasarkan Standard Kandungan
dan Standard Pembelajaran yang terdapat dalam Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) Sains Tahun 6 SK. Kandungan buku teks ini juga dihasilkan berdasarkan
standard prestasi yang bertujuan untuk memudahkan guru mengukur perkembangan
atau kemajuan murid. Penulisan kali ini menitikberatkan penguasaan pengetahuan
kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir.
Buku teks ini mengandungi 12 unit yang merangkumi enam tema, iaitu Pengenalan
kepada Sains, Sains Hayat, Sains Fizikal, Sains Bahan, Bumi dan Sains Angkasa serta
Teknologi dan Kehidupan Lestari. Penulisan buku ini telah disusun bagi merangsang
dan menarik minat murid untuk terus menghayati pembelajaran Sains sama ada
di dalam kelas atau pembelajaran kendiri. Setiap unit dalam buku ini dimulakan
dengan halaman rangsangan, huraian kandungan pembelajaran, aktiviti, rumusan,
penilaian dan aktiviti pengayaan. Bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran
guru dan murid, halaman jawapan disediakan pada akhir buku ini sebagai panduan
jawapan kepada soalan-soalan yang terdapat pada setiap unit.
Bagi memastikan matlamat dan objektif KSSR bagi mata pelajaran Sains tercapai,
elemen merentas kurikulum yang sedia ada ditambah dengan elemen kreativiti dan
inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), serta Kemahiran
189 Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Selain itu, nilai murni dan sikap positif, serta budaya kerja
yang baik turut diterapkan dalam buku teks ini.
Strategi pengajaran dan pembelajaran dalam KSSR bagi mata pelajaran Sains
mengutamakan pembelajaran berfikrah, iaitu penekanan kepada pemerolehan dan
penguasaan kemahiran serta ilmu pengetahuan murid ke tahap yang optimum.
Di samping itu, pengetahuan sains dan teknologi yang dipelajari disesuaikan dan
diaplikasi dalam kehidupan, masyarakat dan alam sekitar. Bagi menimbulkan minat
dan keseronokan murid, persembahan buku ini ditambah dengan unsur didik hibur
yang digabungjalinkan dengan kandungan pembelajaran.
Akhir kata, para penulis juga berharap agar buku teks ini dapat mencetuskan idea
kepada guru untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian pengajaran. Pada
209 masa yang sama, murid akan teruja untuk menggunakan buku ini dalam pembelajaran
mereka.
Suwaibatullaslamiah binti Jalaludin
Jong Tze Kian
Mohd Ramadhan bin Anwar
v

