Page 3 - BUKU PROGRAM 15TKB BOLA SEPAK
P. 3

KATA ALU-ALUAN PEGAWAI PPD BINTULU









          Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.
          Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan hidayah-Nya, saya diberi
          kesempatan untuk melakarkan sepatah dua kata dalam buku program ini. Tahniah dan
          Syabas saya ucapkan kepada semua jawatankuasa pengelola kerana telah menjayakan
          penganjuran Kejohanan Bola Sepak MSSS Peringkat Umur 15 Tahun ke Bawah Tahun 2022 di
          Bintulu. Kejayaan ini ialah satu hasil usaha dan komitmen yang bersungguh-sungguh
          daripada semua pihak untuk mencapai sesuatu tujuan bersama-sama.
          Kejohanan Bola Sepak MSSS ini merupakan satu platform yang terbaik untuk melahirkan
          anak-anak muda yang cergas dari segi fizikal dan mental. Kecergasan daripada pelbagai
          aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf, dan emosi nescaya mampu membentuk
          anak-anak muda yang cergas, patuh dengan peraturan dan secara tidak langsung
          membentuk seorang pemain yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin, dan
          mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan. Hal ini mampu
          menjadikan   Kejohanan    Bola Sepak MSSS      ini  sebagai  satu  aktiviti  selamat  yang
          menyeronokkan dan menyihatkan para pemain selari dengan elemen selamat, seronok,
          dan sihat yang terkandung dalam konsep Sekolahku Sejahtera sekali gus merealisasikan
          anjakan yang ke-3 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), iaitu
          melahirkan rakyat Malaysia yang hayati nilai.
          Di samping itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan juga mampu disuburkan dalam kalangan anak-anak
          muda melalui penganjuran Kejohanan Bola Sepak MSSS ini. Dalam hal ini, setiap murid yang
          mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan bukan sahaja mampu mengembalikan
          kemeriahan sukan dan merapatkan silaturahim warga pendidik dan masyarakat setempat,
          malahan pendekatan ini akan menjadi pemangkin ke arah kejayaan yang lebih
          cemerlang.

          Meninjau daripada perspektif yang lain, Kejohanan Bola Sepak MSSS ini sebenarnya tidak
          semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi setiap perlawanan, namun apa-apa
          yang lebih signifikan ialah kejohanan ini memberikan pendidikan secara tidak langsung
          kepada para murid bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan,
          perancangan yang rapi dan pengorbanan yang tiada ternilai harganya kerana tiada
          kejayaan yang semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu.
          Melalui kejohanan ini, kita juga dapat mencungkil bakat anak-anak muda untuk digilap
          pada masa hadapan agar bakat anak-anak muda dapat diketengahkan lagi pada
          peringkat yang lebih tinggi di samping menyemai semangat kesukanan dalam kalangan
          mereka. Sehubungan dengan itu, hubungan yang muhibah dan setia kawan dalam
          kalangan pemain dari pelbagai bahagian diharapkan boleh terjalin melalui suasana
          pertandingan dan persaingan yang sihat ini dalam penganjuran kejohanan ini.
          Walau bagaimanapun, kita harus sedar bahawa menang dan kalah ialah adat
          pertandingan. Oleh sebab itu, menang atau kalah bukanlah ukuran yang terpenting untuk
          menentukan kualiti sesebuah pasukan, tetapi dinilai dari segi semangat kesukanan, bersatu
          padu, bertoleransi, sikap menerima kekalahan serta meraikan pasukan yang menang.
          Horizon mental dan spiritual anak-anak muda yang telah terbuka luas melalui kejohanan ini
          sesungguhnya membolehkan mereka mengalami anjakan paradigma agar mempunyai
          daya saing dan semangat kejohanan yang lebih sofistikated. Sememangnya, kita tidak
          boleh alpa bahawa kita mampu membangunkan modal insan yang berkualiti dan insan
          yang memiliki minda kelas pertama yang menjadi peneraju negara pada masa hadapan.

          Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang bertanding. Besar
          harapan saya agar mereka memperoleh kejayaan dan menjadi kebanggaan semua pihak
          termasuklah ibu bapa, jurulatih, sekolah dan bahagian masing-masing.


          Sekian.



          Samri bin Suhaili
          Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu







                                                      2
   1   2   3   4   5   6   7   8