Page 112 - Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 6 SK
P. 112

Bacaan Luas


                                                   Penubuhan Malaysia


                    Malaysia telah ditubuhkan pada 16 September 1963. Malaysia terbentuk hasil
                    penyertaan  bersama  Persekutuan  Tanah  Melayu,  Borneo  Utara  (Sabah),
                    Sarawak dan Singapura. Walau bagaimanapun, Singapura berpisah daripada
                    Malaysia  pada  6  Ogos  1965.  Pengisytiharan  penubuhan  Malaysia  telah
                    dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, di Stadium Merdeka,
                    Kuala Lumpur. Kira-kira 30 000 orang hadir untuk menyaksikan pengisytiharan
                    tersebut termasuklah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
                        Sebelum  Malaysia  terbentuk,  Jawatankuasa  Perundingan  Perpaduan
                    Malaysia yang dipengerusikan oleh Donald Stephen telah ditubuhkan. Tujuan
                    penubuhan  jawatankuasa  ini  adalah  untuk  penerangan  tentang  konsep
                    Malaysia  kepada  orang  ramai,  khususnya  penduduk  Sabah,  Sarawak  dan
                    Brunei dengan lebih jelas.
                        Bagi tujuan meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara
                    dan Sarawak tentang gagasan Malaysia, Suruhanjaya Cobbold telah dibentuk
                    pada 17 Januari 1962. Sepanjang Februari hingga April 1962, suruhanjaya ini
                    telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada
                    pelbagai pihak.
                        Berdasarkan  hasil  tinjauan  Suruhanjaya  Cobbold,  kira-kira  80  peratus
                    penduduk  Borneo  Utara  dan  Sarawak  menyokong  penubuhan  Malaysia.
                    Laporan  suruhanjaya  ini  seterusnya  telah  disahkan  oleh  perwakilan
                    Setiausaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
                        Pada  9  Julai  1963,  satu  perjanjian  telah  ditandatangani  di  Pejabat
                    Perhubungan  Komanwel  di  Malborough  House,  London.  Dalam  perjanjian
                    tersebut, persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos
                    1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh
                    tersebut  terpaksa  ditangguhkan.  Hal  ini  berlaku  demikian  kerana  laporan
                    Setiausaha  PBB  hanya  dapat  disiapkan  pada  14  September  1963.  Akhirnya,
                    pada 16 September 1963, penubuhan Malaysia diisytiharkan.
                        Sebagai mengenang tarikh penubuhan Malaysia, Hari Malaysia disambut
                    oleh rakyat Malaysia pada 16 September setiap tahun secara gilang-gemilang
                    pada peringkat kebangsaan. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia telah diisytiharkan
                    sebagai cuti umum di Malaysia.

                                                                                Sumber: www.arkib.gov.my






                                                                                                          87
   107   108   109   110   111   112   113   114   115   116   117