Page 80 - Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 6 SK
P. 80

Bacaan Luas



                                                    Operasi Selamat

                    Operasi  Selamat  dikenali  juga  sebagai  “Ops
                    Selamat”.  Operasi  Selamat  merupakan  satu
                    operasi keselamatan jalan raya yang dijalankan
                    oleh  Polis  Diraja  Malaysia  (PDRM).  Operasi  ini
                    dijalankan  khususnya  pada  musim  perayaan
                    seperti  Hari  Raya  Aidilfitri,  Tahun  Baharu  Cina,
                    Deepavali, Hari Raya Aidiladha dan Hari Krismas.
                        Operasi Selamat dilaksanakan di negara ini
                    mulai  tahun  2012  bagi  menggantikan  Operasi
                    Sikap  yang  telah  dijalankan  sejak  tahun  2001.
                    Operasi  ini  telah  dijalankan  secara  bersepadu
                    oleh  PDRM  dengan  kerjasama  daripada  pihak
                    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),
                    Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Agensi Antidadah
                    Kebangsaan (AADK).
                        Operasi ini bertujuan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya
                    sewaktu  pulang  bercuti  dan  kembali  bertugas  semasa  musim  perayaan.
                    Di samping itu, tujuannya juga adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan
                    di jalan raya. Selain itu, Operasi Selamat ini juga dapat mendidik pengguna
                    jalan raya agar mematuhi peraturan dan berhemah.
                        Biasanya,  Operasi  Selamat  akan  bermula  seminggu  sebelum  musim
                    perayaan  dan  berakhir  seminggu  selepas  musim  perayaan.  Pada  masa
                    tersebut,  orang  ramai  berpusu-pusu  pulang  ke  destinasi  masing-masing.
                    Keadaan ini akan menyebabkan jalan raya menjadi sesak dengan pelbagai
                    jenis kenderaan berat dan kenderaan ringan.
                        Antara  langkah  yang  diambil  semasa  Operasi  Selamat  termasuklah
                    memantau  kenderaan  berat  khususnya  bas  ekspres,  mengadakan  operasi
                    had laju dan kempen keselamatan jalan raya. Para pengguna jalan raya juga
                    dinasihati  supaya  sentiasa  berhemah  semasa  memandu,  contohnya  tidak
                    berlumba-lumba di jalan raya.
                        Dengan  adanya  Operasi  Selamat  ini,  pengguna  jalan  raya  dapat  pulang
                    ke kampung halaman dengan selamatnya. Slogan seperti “Pandu Cermat Jiwa Selamat”,
                    “Ingatlah Orang yang Tersayang” dan “Anda boleh Mengubahnya” diharapkan
                    dapat mendidik pengguna jalan raya supaya sentiasa berhemah.
                                                                              Sumber: Polis Diraja Malaysia


                                                                                                          67
   75   76   77   78   79   80   81   82   83   84   85