Page 15 - Anjung Sentosa Edisi ke-19
P. 15
Kata-Kata Aluan Ketua Editor
Dua tiga kucing berlari,
Bermain-main di tepi sungai,
Bicara budi amalan terpuji,
Salam hormat saya memberi.
Bersyukur kita ke hadrat ilahi dengan izin dan limpah kurniaNya dapat sekali
lagi kita saksikan sebuah penerbitan majalah yang menjadi kebanggaan warga
Smk Bukit Sentosa, iaitu Anjung Sentosa edisi ke-19 iaitu E-Majalah pertama
SEBESTA. Sekalung penghargaan, penghormatan dan tahniah diberikan kepada
guru penasihat Pn. Masliza binti Anim dan Team Sidang Redaksi 2020 atas berkat
usaha dan perkhidmatan yang tidak mengenal erti jemu dan penat dalam
menyiapkan wadah yang cukup bermakna bagi seluruh warga SEBESTA. Majalah
Anjung Sentosa ini turut menjadi medium bagi para pelajar menyerlahkan dan
mengasah bakat mereka yang sememangnya terpendam lama. Di majalah ini
jugalah tercatatnya segala coretan suka duka para guru dan para pelajar untuk
dijadikan kenang-kenangan terutamanya bagi para pelajar Tingkatan 5 yang akan
meninggalkan Smk Bukit Sentosa yang tercinta.
Penghasilan E-Majalah ini bukan sahaja merekodkan hari-hari di SEBESTA
bahkan merakamkan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai sudut, baik
kurikulum mahupun kokurikulum. Oleh itu, kejayaan demi kejayaan yang telah
ditempa oleh para pelajar SEBESTA turut dimuatkan untuk tatapan semua.
Majalah ini turut memaparkan sebarang perubahan yang berlaku di Smk Bukit
Sentosa pada tahun yang cukup bermakna ini. Walaupun kita terpaksa
berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang menggugat nusa dan bangsa, saya
berharap penghasilan E-Majalah Anjung Sentosa ini masih menjadi coretan
memori dalam hati warga SEBESTA
Sebagai ketua editor Anjung Sentosa 2020, saya mewakili Team Sidang
Redaksi 2020 ingin memohon maaf jika terdapat kelemahan dan kekurangan
dalam penghasilan majalah ini dan ampun maaf dipinta, sesungguhnya segala
yang baik datangnya daripada Tuhan dan yang sebaliknya datang dari kelemahan
diri saya sendiri. Sesungguhnya, kami telah memerah kudrat agar Majalah Anjung
Sentosa 2020 akan tetap tersemat di hati warga Smk Bukit Sentosa. Semoga
dengan penghasilan majalah ini, semua kenangan dan memori indah bersama
SEBESTA dapat dipotretkan untuk tatapan masa yang akan datang.
Sekian, terima kasih.
MARC VINAY ROZARIO

