Page 3 - HAKA2019
P. 3
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan hidayahnya, Majlis Anugerah
Kecemerlangan Akademik Kali ke-16, 2019 dapat diadakan. Syabas dan tahniah kepada
anak-anak pelajar yang telah berjaya. Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik
merupakan acara tahunan yang tercatat dalam takwim sekolah bermatlamat untuk
memberikan pengiktirafan kepada pelajar-pelajar yang telah menunjukkan prestasi
cemerlang dalam bidang kurikulum. Lakaran kejayaan ini seterusnya membentuk warga
negara berkualiti yang bakal menjadi asset kepada kemajuan negara kita malah menjadi
perangsang kepada pelajar-pelajar lain agar meneruskan usaha untuk meningkatkan dan
menjaga imej sekolah yang baik dan cemerlang.
Sesungguhnya, usaha mencari ilmu memerlukan banyak kesabaran dan kesungguhan. Kita
perlu tabah menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan yang mendatang. Kejayaan adalah
terletak pada diri pelajar itu sendiri agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri
yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Sesungguhnya, kita harus sedar juga
banyak laluan sukar yang perlu ditempuhi untuk menuju ke puncak jaya namun pepatah
Melayu ada menyatakan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Kita sedar majlis seumpama ini amat perlu dilaksanakan untuk memberi makna kepada
kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan negara. Pengiktirafan kejayaan
pelajar- pelajar ini turut mempamerkan impak yang bermakna bagi pembinaan sahsiah. Hal
ini khususnya pembentukan daya saing yang tinggi dalam diri pelajar-pelajar untuk mencipta
kejayaan yang lebih hebat.
Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua penerima
anugerah malahan ibu bapa juga guru-guru yang menjadi nadi dan tulang belakang sehingga
membuahkan kejayaan untuk mereka. Saya berharap anak-anak pelajar terus mengorak
langkah bagi menyemarakkan budaya ilmu dan seterusnya memartabatkan institusi
pendidikan dalam usaha melahirkan generasi yang berwawasan. Semoga anak-anak pelajar
Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng akan terus menerajui kecemerlangan.
AHMAD SHAFRIN BIN ABDUL AZIZ
Pengetua
SBP Integrasi Gopeng.
#igopterbangtinggi 1

