Page 23 - MODUL POTENSI LULUS BM SPM 2019 - KERTAS 2
P. 23

Rumusan 19 : [30 Markah]

            Baca  petikan  di  bawah  dengan  teliti,  kemudian  buat  satu  rumusan  tentang  faedah-faedah
            permainan  tradisional  dan  langkah-langkah  untuk  menghidupkan  permainan  tradisional.
            Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

                   Masyarakat kita memang kaya dengan pelbagai permainan tradisional. Permainan tradisional
            merupakan  permainan  yang  dicipta  oleh  masyarakat  tradisional,  iaitu  merujuk  permainan  budaya
            yang sudah diamalkan oleh masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu. Antara yang paling popular
            termasuklah  wau,  batu  seremban,  congkak,  gasing,  konda-kondi,  dan  banyak  lagi.  Permainan
            tradisional dimainkan oleh semua peringkat umur sama ada kanak-kanak, remaja atau orang dewasa.
            Permainan  tradisional  dapat  dijadikan  sebagai  suatu  produk  pelancongan  yang  menguntungkan
            negara.
                   Permainan  tradisional  juga  seperti  permainan  moden  dapat  membina  fizikal  kerana
            pemainnya  perlu  bergerak  aktif  dan  pantas.  Seseorang  yang  aktif  dalam  permainan  lazimnya
            mempunyai badan yang sihat. Selain itu, permainan tradisional juga menjadi kegiatan riadah untuk
            mengisi  masa  senggang  setelah  pulang  dari  sekolah  dan  selepas  penat  bekerja.  Hal  ini  demikian
            kerana  permainan  tradisional  dapat  mengelakkan  remaja  daripada  terdedah  dengan  unsur-unsur
            negatif. Bermain permainan tradisional secara perseorangan ataupun berpasukan dapat mengeratkan
            hubungan sama ada dalam kalangan pemain ataupun anggota keluarga. Ahli keluarga boleh berbual-
            bual  sambil  bermain.  Permainan  yang  dimainkan  secara  berpasukan  pula  secara  langsung  dapat
            menanam  sikap  dan  nilai  kerjasama.  Tanpa  kerjasama  ahli  kumpulan,  permainan  tidak  dapat
            dilangsungkan dengan baik, apatah lagi untuk mencapai kemenangan.
                   Sebenarnya, permainan tradisional juga mampu mendidik pemainnya berfikir untuk mengatur
            strategi dan memilih teknik yang terbaik untuk menang. Tanpa strategi dan teknik yang bagus, sudah
            tentu permainan menjadi hambar. Permainan tradisional dapat memupuk nilai tradisi dalam kalangan
            generasi  masa  kini.  Mereka  diajar  tentang  nilai-nilai  budaya  masyarakat  terdahulu.  Permainan
            tradisional  juga  boleh  menimbulkan  kesedaran  dalam  diri  masyarakat.  Masyarakat  akan  berusaha
            memartabatkan  permainan  tradisional  bagi  menyaingi  permainan  moden  yang  semakin  popular
            dalam  kalangan  remaja.  Namun,  kini,  permainan  tradisional  semakin  terpinggir  sedangkan
            permainan  tradisional  ini  merupakan  sejenis  pendidikan  tidak  formal  yang  amat  tinggi  nilainya.
            Remaja  berpendapat  bahawa  permainan  tradisional  bukan  sahaja  tidak  menyeronokkan  tetapi
            membuang masa mereka
                   Untuk mengembalikan permainan tradisional itu ke pangkuan remaja kini agak sukar kerana
            kebanyakannya  tidak  begitu  popular  lagi  dan  tidak  sesuai  dengan  persekitaran  yang  ada  kini.
            Malahan  kebanyakan  remaja  sekarang  beranggapan  bahawa  permainan  tradisional  merupakan
            permainan  yang  ketinggalan  zaman  dan  membosankan  Tegasnya,  untuk  mengelakkan  permainan
            tradisional daripada terus dilupakan, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan permainan
            ini  terus  wujud  dalam  minda  dan  hati  masyarakat  kita  kerana  permainan  tradisional  memainkan
            peranan penting sebagai lambang keagungan bangsa.
                                          Dipetik dan diubahsuai daripada “Remaja dan Permainan Tradisional”
                                                           oleh Hanapi Dollah, Dewan Siswa September 2009.
            Soalan 2 (a) – Petikan Umum
            Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
            sendiri.
            (i)    Berikan maksud rangkai kata semakin terpinggir.                                [2 markah]

            (ii)    Pengarang menyatakan beberapa tanggapan negatif remaja terhadap permainan tradisional.
                   Nyatakan tanggapan-tanggapan negatif tersebut.                                 [3 markah]

            (iii)    Pada pendapat anda, selain menghidupkan permainan tradisional di negara kita apakah usaha-
                   usaha  yang  boleh  dilakukan  untuk  memartabatkan  permainan  tradisional  di  peringkat
                   antarabangsa? Kemukakan cadangan anda.                                         [4 markah]


                                                                                               Muka surat | 23
   18   19   20   21   22   23   24   25   26   27   28