Page 13 - SK TAMAN DAYA 2 TAHUN 2020
P. 13
P E N G U R U S A N 2 0 2 0
Sekolah Kebangsaan Taman Daya 2 (SKTD2) dibuka rasminya pada 25 Jun 2001. SKTD2 merupakan sekolah
rendah kebangsaan kedua bagi kawasan perumahan Taman Daya, Johor Bahru. Sekolah ini dibuka sebagai
sekolah alternatif kerajaan kepada masyarakat Taman Daya dan Taman Delima 2 untuk menyediakan
perkhidmatan pendidikan bagi anak-anak masyarakat di sini terutamanya kepada mereka yang tinggal di
Jalan Nipah, Rumbia dan Taman Delima 2.
SKTD2 telah didirikan di atas sebidang tanah lot 19821(PA 50141) dengan keluasan 25 hektar. Kawasan
ini dahulunya merupakan ladang getah Mount Austin. Pada penghujung tahun 1980-an ladang getah ini
telah dibeli oleh Syarikat Kek Sheng dan dibangunkan sebagai kawasan perumahan kos sederhana. Projek
tersebut meliputi kawasan Taman Delima 1 hinggalah ke Pencawang Telekom Pandan, Johor Bahru. Kerja-
kerja pembinaan sekolah telah dimulakan pada pertengahan tahun 1999 oleh Syarikat Kontraktor Zainal &
Din Construction Sdn. Bhd. dan siap dibina siap pada pertengahan tahun 2001.
Penyerahan kunci telah dilakukan pada 25 Julai 2001 dengan termeterainya satu perjanjian antara pihak
kontraktor dengan pihak pentadbir SKTD2. Upacara penyerahan kunci telah disaksikan oleh En Zainuddin
B Ali, wakil Pegawai Pendidikan Daerah, Johor Bahru serta wakil daripada Jabatan Kerja Raya. Pada sesi
tahun persekolahan dibuka, pihak pentadbir menawarkan pengambilan pelajar-pelajar dari Sekolah
Kebangsaan Taman Daya 1 di Jalan Sagu yang tinggal berdekatan dengan kawasan sekolah yang meliputi
Jalan Nipah, Taman Delima, Jalan Rumbia dan Jalan Nibong. Selain itu, faktor kekurangan bilik darjah di
sekolah tersebut mendorong kepada arahan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor agar sebahagian
daripada para pelajar tersebut berpindah ke SKTD2.
Pada 6 Julai 2001, terdapat seramai 586 orang pelajar yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India
telah mendaftar dan memulakan pengajaran dan pembelajaran pada 9 Julai 2001. Jawatan Guru Besar
pertama SKTD2 disandang oleh Puan Hjh. Siti Zaleha binti Abdul Manaf. Beliau dibantu oleh barisan Guru
Penolong Kanan dan 27 orang guru.Di samping itu, terdapat seramai 5 orang kakitangan sokongan. Kini,
pada tahun 2017 seramai 63 kakitangan akademik telah berkhidmat di sekolah ini dengan dibantu oleh staf
sokongan seramai 9 orang.
Kemudahan yang terdapat di SKTD2 ialah dua bangunan 4 tingkat yang boleh digunakan sebagai bilik
darjah, makmal sains, makmal komputer, bilik kemahiran hidup, pusat sumber, bilik muzik, pejabat, bilik
SPBT, bilik kesihatan, bilik media, bilik guru, tandas, stor sukan, surau, bilik mesyuarat, bilik kaunseling,
bilik persalinan pakaian dan bilik pemulihan. Sekolah ini juga dilengkapi dengan kemudahan padang
rumput bagi tujuan sukan dan permainan, dua buah gelanggang badminton/sepaktakraw serta medan
tempat meletak basikal. SKTD2 juga boleh dihubungkan dengan jalan berturap juga dilengkapi kemudahan
bekalan air, elektirk dan telefon. Di samping itu, sekolah juga dilengkapi dengan sebuah dewan yang dibina
pada tahun 2005 dengan usahasama pihak PIBG sekolah secara berperingkat.
Berbekalkan dengan semangat kental dalam usaha mengangkat imej sekolah serta kemudahan-kemudahan
bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran yang selesa, SKTD2 telah mencatat keputusan yang
membanggakan dalam sesi pertama Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2002
iaitu seramai 16 orang pelajar telah memperolehi keputusan cemerlang 5A daripada 92 orang calon yang
menduduki peperiksaan tersebut dan peratus keseluruhan calon yang lulus sebanyak 78.3%. Manakala,
pada tahun 2003, seramai 21 orang pelajar memperolehi keputusan cemerlang 5A daripada 106 orang
calon yang menduduki peperiksaan UPSR.
Menjadi hasrat pentadbir dan guru-guru SKTD2 untuk mengurus sekolah ini menjadi antara sekolah contoh
yang terkenal khasnya di Daerah Pasir Gudang yang berjaya dalam bidang kurikulum dan kokurikulum
selaras dengan Wawasan 2020 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Untuk merealisasikan impian tersebut,
warga SKTD2 telah bertekad untuk bekerjasama dengan bersungguh-sungguh dan saling membantu antara
satu sama lain. Semoga harapan dan impian warga SKTD2 akan menjadi kenyataan. Insya Allah.
13 | S K T D 2

