Page 8 - Bahasa Melayu Komunikasi Tingkatan 3 KSSMPK KS
P. 8
Buku Teks Bahasa Melayu Komunikasi Pendidikan Khas Tingkatan 3 ini ditulis
berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK)
Bahasa Melayu Komunikasi Tingkatan 3 yang disediakan oleh Bahagian
Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kandungan bahan pengajaran dan pembelajaran menekankan tiga
kemahiran utama yang perlu dikuasai, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur/
Melihat, Mengecam dan Mengisyarat, Kemahiran Membaca/Mengisyarat dan
Kemahiran Menulis. Setiap kemahiran disusun berdasarkan pemeringkatan
yang perlu dikuasai oleh Murid Berkeperluan Khas (MBK) berpandukan Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu Komunikasi KSSMPK
Tingkatan 3.
Buku ini memuatkan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam pelbagai
jenis teks, aktiviti, latihan dan bahan grafik yang menepati tema dan standard
pembelajaran. Terdapat sembilan tema, iaitu Kebersihan dan Keselamatan,
Kereta Nasional, Rekreasi dan Riadah, Khidmat Masyarakat, Lawatan Sambil
Belajar, Barangan Buatan Malaysia, Warisan Bangsa, Hari Keusahawanan
dan Seni Mempertahankan Diri. Setiap tema dibahagikan kepada beberapa
unit untuk memudahkan murid menguasai standard pembelajaran. Pemilihan
topik disesuaikan dengan tahap perkembangan intelektual murid sekali gus
memberikan asas yang kukuh kepada murid dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu Komunikasi.
Penulisan buku ini disusun menggunakan pendekatan modular untuk
membolehkan penggabungjalinan ilmu dan kemahiran bagi meningkatkan
kemahiran komunikasi dan kecekapan berbahasa dalam kalangan murid.
Idea yang disampaikan juga dapat membantu guru dalam melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dengan berfokus kepada konsep
Bahasa Melayu Komunikasi yang spesifik.
Buku ini menggunakan kaedah penceritaan melalui watak yang dipilih
melibatkan murid pelbagai kaum di seluruh Malaysia. Pemilihan aktiviti
dan latihan berdasarkan Pembelajaran Abad ke-21 dengan menerapkan
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kemahiran berfikir murid turut diperluas
melalui pelbagai pendekatan, antaranya peta pemikiran, penyelesaian
masalah dan pemerolehan maklumat. Quick Response Code (QR Code)
atau Kod Carian Pantas digunakan untuk mengimbas maklumat tambahan
melalui aplikasi telefon pintar Quick Response Reader (QR Reader). Glosari,
indeks dan senarai rujukan juga disediakan pada bahagian akhir buku teks ini.
vi vi

