Page 250 - Buku Teks Digital English KSSM Tingkatan 1
P. 250

Tema 2 Unit 3
                     1.2.1 – Mendengar dan Bertutur
                     Panduan Keselamatan Semasa Banjir – muka surat 14

                     Belakangan ini bencana banjir atau bah semakin kerap berlaku. Bencana banjir telah menenggelamkan
                     kawasan tempat tinggal, merosakkan harta benda, merosakkan tanaman dan juga kehilangan nyawa.
                     Aspek keselamatan penting diamalkan semasa banjir. Terdapat beberapa panduan keselamatan semasa
                     banjir. Orang ramai hendaklah sentiasa mendengar pengumuman banjir melalui berita radio dan
                     televisyen dari semasa ke semasa. Sila patuhi arahan pihak keselamatan. Sebagai contohnya, jika anda
                     diminta berpindah ke pusat pemindahan, pastikan anda mematikan semua suis elektrik dan mengunci
                     pintu rumah sebelum berpindah. Selain itu, orang ramai perlu menyimpan semua barangan berharga
                     seperti dokumen peribadi dan barang kemas di tempat yang selamat. Hal ini perlu dilakukan bagi
                     mengelakkan barangan penting ini basah dan rosak. Orang ramai juga dinasihati agar tidak meredah air
                     banjir ataupun menggunakan kenderaan semasa banjir. Perbuatan demikian mungkin akan menyebabkan
                     kejadian tergelincir, hanyut atau disengat binatang berbisa. Pakai jaket keselamatan sekiranya anda perlu
                     meredah banjir. Seterusnya, orang ramai juga dinasihati agar tidak memakan makanan yang tercemar
                     akibat banjir bagi mengelakkan penularan penyakit. Para ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengawasi
                     anak-anak agar tidak bermain di kawasan air bah. Pastikan anda dan keluarga selamat semasa banjir.



                     Tema 3 Unit 5
                     1.3.2 – Mendengar dan Bertutur
                     Peranan Sekolah dalam Memupuk Perpaduan – muka surat 26
                     Assalamualaikum dan salam sejahtera, serta salam sehati sejiwa saya ucapkan kepada Yang Berbahagia
                     Puan Rozainum binti Ahmad, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan
                     Malaysia, Yang Berusaha Encik Lim Leong Fat, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, guru-guru yang
                     dihormati, tuan-tuan dan puan-puan serta murid-murid yang saya kasihi.
                     Hadirin yang dimuliakan,
                     Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat berhimpun bersama-sama pada pagi yang penuh harmoni ini
                     untuk menyambut Sambutan Hari Perpaduan Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Semarak Harmoni
                     dengan tema “Satukan Jiwa”. Ucapan penghargaan saya berikan kepada Puan Rozainum binti Ahmad
                     kerana sudi hadir dan menyerikan majlis pada hari ini lagi. Sekolah perlu berperanan memperkukuh
                     perpaduan dalam kalangan murid. Perpaduan perlu menjadi tonggak kepada kekuatan negara. Hal ini
                     perlu disemai dalam jiwa dan minda anak-anak kita. Oleh itu, pendidikan merupakan asas yang penting
                     untuk menyemai, dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda, seterusnya menjadi
                     pemangkin bagi melahirkan warganegara yang beridentiti dan berdisiplin.
                     Hadirin yang dikasihi,
                     Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan
                     seperti sukan, kelab dan persatuan haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Para pelajar harus dilibatkan
                     dalam aktiviti di luar sistem akademik seperti penglibatan dalam keluarga angkat, persatuan dan badan
                     beruniform. Sikap bangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh
                     dilakukan melalui penganjuran pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik.
                     Akhir kata, saya, sekali lagi, ingin merakamkan ucapan penghargaan saya kepada Jabatan Pendidikan
                     Negeri dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Sekarang, dengan sukacitanya saya
                     merasmikan Sambutan Hari Perpaduan Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Semarak Harmoni
                     Tahun 2016.
                     Sekian, terima kasih.



                    236
   245   246   247   248   249   250   251   252