Page 6 - Manual Pengurusan SMKPM Tahun 2021
P. 6
Manual Pengurusan Sekolah 2021
Tinta Bicara Pengetua
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah dan tahniah kepada ahli jawatankuasa yang telah menyiapkan Buku Manual
Pengurusan Sekolah Tahun 2021. Senarai tugas dan jawatankuasa yang dibentuk diharap menjadi sebagai
satu wadah panduan berterusan supaya setiap warga SMIDIN mengetahui peranan masing-masing dalam
memastikan hasrat untuk menjadikan institusi ini mendahului dan ke hadapan dalam pelbagai aspek menjadi
realiti . Matlamat dan wawasan yang difokus ke arah kemenjadian murid dan sekolah berkualiti perlu selari
dengan ‘tagline sekolah’ dan perlu diterjemahkan dengan kejayaan terbilang dalam setiap sudut sama ada
Pentadbiran dan Pengurusan, Kurikulum dan Pencapaian Akademik, Sahsiah Pelajar dan Hal Ehwal Murid,
Kokurikulum dan ‘Extra Kokurikulum’ serta Pra Universiti.
Sebagai pendidik, kita perlu bersedia menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21 dengan landskap
teknologi yang cepat berubah dan generasi Z yang berbeza ilmu dan sikapnya. Sebagai peneraju sekolah,
saya ingin membawa warga SMIDIN bersama-sama saya mendahului dan ke hadapan dalam pelbagai sudut.
Kita sama-sama penuhi kriteria ciri-ciri guru abad ke-21 antaranya memahami perkembangan murid dan
menyayangi mereka, memahami psikologi pembelajaran, memiliki kemahiran kaunseling, menggunakan
teknologi terkini, menguasai subjek (kandungan kurikulum), serta mahir dan berketrampilan dalam pedagogi.
SMKPM sebagai ikon dan contoh kepada sekolah-sekolah lain perlu kita realisasikan sebagaimana
hasrat dan impian asal penubuhan sekolah ini. Kita perlu bergerak seiringi dengan perkembangan pendidikan
kini. Sebagai pendidik kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan dan mampu memberi tindak balas
positif terdapat cabaran yang tak terduga sekiranya berlaku, kerana kadang kala kita akan menjadi ‘punching
bag’, diajukan dengan pelbagai permasalahan dan fakta yang gagal dihurai sepanjang kita menjawat amanah
dan tugas kita
Kita juga perlu mentransformasi bidang pendidikan dalam landskap teknologi kini melalui
pembelajaran bestari serta menggunakan teknologi-teknologi terkini, malah berada selangkah ke hadapan
daripada sekolah lain dalam arus perubahan. Kita juga perlu belajar dan menyambut baik “Education For
Educators” supaya menjadi pemangkin untuk memperkasakan warga SMIDIN agar lebih bersedia mendepani
tuntutan pendidikan era globalisasi.
Marilah kita berdoa, semoga segala aspirasi dan inspirasi murni ini dapat direalisasikan dengan
adanya sifat-sifat kebertanggungjawaban, jujur, ikhlas, amanah dan sabar yang tertanam dalam sanubari
setiap warga sekolah. Insya-Allah, kejujuran dan keikhlasan akan menjadi tunjang kepada kita melaksanakan
tugas dalam suasana harmoni dan terus memacu kejayaan yang lebih hebat pada tahun 2021 ini walaupun
dalam keadaan norma baharu.
‘SMIDIN MENDAHULUI DAN KE HADAPAN’
HAJI KHAIRI BIN MOHD NOOR
Pengetua
SMK Padang Midin
Kuala Terengganu
4

