Page 6 - Sejarah Tahun 5 SK
P. 6

PENDAHULUAN


                 Buku Teks  Sejarah Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) ditulis untuk memenuhi
                 matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang harmonis
                 berasaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Penulisan buku teks ini
                 meliputi aktiviti dalam dan luar bilik darjah yang diharapkan dapat mengintegrasikan
                 pengetahuan dan kemahiran murid dengan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik.
                 Nilai ini  diharapkan dapat menyediakan murid sebagai warganegara Malaysia yang
                 memiliki jati diri, berdaya saing dan berwawasan serta menjunjung amalan demokrasi
                 berparlimen dan Raja Berperlembagaan.


                    Penulisan buku teks ini menjadikan pembelajaran sejarah lebih menyeronokkan
                 dengan adanya aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Bagi meningkatkan daya
                 pemikiran kritis dan inovatif dalam kalangan murid, pendekatan pembelajaran aktif
                 melalui aktiviti didik hibur, hands on dan rangsangan serta penilaian turut disediakan.
                 Terdapat juga ilustrasi berdasarkan gambaran pelukis bagi tujuan meningkatkan
                 minat dan membantu murid menghayati ilmu sejarah dengan lebih berkesan.

                    Buku Teks Sejarah Tahun Lima merupakan kesinambungan daripada Buku Teks
                 Sejarah Tahun Empat. Tema Sejarah Tahun Lima ialah Kedaulatan Negara. Tema ini
                 merupakan aspek penting dalam pembinaan sahsiah dan jati diri murid di peringkat
                 rendah. Terdapat empat tajuk dalam tema ini, iaitu Warisan Negara Kita, Perjuangan
                 Kemerdekaan Negara, Yang di-Pertuan Agong dan Identiti Negara Kita.


                 Tajuk 1: Warisan Negara Kita

                 Tajuk ini memberikan pendedahan kepada murid tentang warisan negara Malaysia
                 yang unik dan istimewa. Negara kita mempunyai banyak warisan yang diwarisi
                 daripada Kerajaan Melayu Melaka yang kini termaktub dalam Perlembagaan
                 Persekutuan Malaysia seperti institusi  raja, agama Islam dan bahasa Melayu. Warisan
                 ini mendasari asas pembinaan negara Malaysia pada masa ini.


                 Tajuk 2: Perjuangan Kemerdekaan Negara

                 Perjuangan dan pengorbanan tokoh negara menentang penjajahan dan campur
                 tangan kuasa luar di negara kita dibincangkan dalam tajuk ini. Selain sumber
                 inspirasi  dan motivasi, penghayatan dan penghargaan kepada jasa tokoh negara
                 dapat menimbulkan semangat patriotisme dan kewarganegaraan yang kental dalam
                 kalangan murid di peringkat rendah.







              iv






        Prelim.indd   4                                                                                 6/25/15   2:59 PM
   1   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11