Page 7 - Buku Teks ASK Tingkatan 2
P. 7

PENDAHULUAN
             PENDAHULUAN







               Buku Teks Asas Sains Komputer Tingkatan 2 ini ditulis berdasarkan Dokumen
               Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) untuk Kurikulum Standard Sekolah
               Menengah (KSSM) yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
               Buku teks ini ditulis mengikut fokus kurikulum  Asas Sains Komputer bagi
               menyediakan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam empat
               bidang pembelajaran, iaitu Konsep Asas Pemikiran Komputasional, Perwakilan
               Data,  Algoritma  dan  Kod  Arahan.  Murid-murid  perlu  dipupuk  dengan  fikiran
               komputasional supaya mereka dapat menyelesaikan masalah, mereka bentuk dan
               mencipta aplikasi baharu.


                   Buku ini berorientasikan strategi pembelajaran dalam Asas Sains Komputer.
               Pelbagai aktiviti dan tugasan dirancang berpandukan pembelajaran berasaskan
               inkuiri yang dapat mencetuskan pemikiran kritis dan kreatif murid. Murid
               didedahkan dengan pelbagai bentuk soalan dalam latihan formatif dan sumatif
               supaya mereka dapat mentaksir pembelajaran sendiri. Strategi ini membolehkan
               murid terlibat secara mendalam dan lebih bertanggungjawab ke atas pembelajaran
               mereka. Pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah, pembelajaran koperatif
               dan kolaboratif, pembelajaran masteri, pembelajaran konstruktivisme dan
               pembelajaran berasaskan projek diberi penekanan dalam buku ini.


                   Amalan STEM (Science,  Technology, Engineering and Mathematics)
               diperkenalkan dalam buku ini melalui tugasan dan projek yang melibatkan
               penyelesaian masalah dalam konteks kehidupan harian. Buku ini diterapkan
               dengan Elemen Merentas Kurikulum (EMK) untuk mengukuhkan kemahiran dan
               keterampilan modal insan supaya murid-murid mampu menangani cabaran
               semasa dan masa hadapan.


                   Penekanan pada Kemahiran Abad Ke-21 secara tersirat dan tersurat dalam
               buku ini bermatlamat untuk melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat
               global.  Elemen  Kemahiran  Berfikir  Aras  Tinggi  (KBAT)  ditunjukkan  dengan
               eksplisit bagi merangsang pemikiran berstruktur dalam kalangan murid. KBAT
               diaplikasikan dalam proses pembelajaran melalui aktiviti atau projek. Penggunaan
               peta pemikiran i-THINK dan bentuk soalan aras tinggi dalam buku ini bertujuan
               untuk menggalakkan murid berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.




                                                                                                    v
   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11   12