Page 6 - Sejarah_Tahun 4_SK
P. 6

PENDAHULUAN





                    Buku teks Sejarah Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) ditulis berdasarkan Kurikulum
                    Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 yang digubal oleh Kementerian
                    Pendidikan Malaysia. Penulisan buku teks ini memberikan penekanan terhadap
                    penerapan nilai murni, semangat patriotik, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik.
                    Penekanan ini perlu bagi melahirkan murid yang berdaya saing dan mempunyai
                    jati diri sebagai warganegara Malaysia yang sayang dan cinta akan negaranya.
                          Kandungan yang disediakan dalam buku teks ini menekankan kepelbagaian
                    kaedah pembelajaran dan pengajaran seperti pembelajaran berasaskan inkuiri,
                    kajian masa depan, kontekstual, kajian kes, kemahiran teknologi maklumat dan
                    komunikasi serta mengaplikasikan kemahiran abad ke-21.
                          Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan didik hibur yang digunakan
                    membolehkan murid melahirkan pemikiran sejarah yang lebih kritis, kreatif dan
                    inovatif. Selain itu, terdapat juga aktiviti yang meminta murid membuat kajian bagi
                    mendapatkan maklumat. Kajian ini bertujuan untuk memberikan pengalaman dan
                    kemahiran kepada murid. Murid diharap akan dapat menghayati sejarah secara
                    empati untuk membentuk jati diri yang mantap dan memiliki pemikiran yang terbuka.
                         Buku teks Sejarah Tahun 4 SK ditulis bertemakan Sejarah Awal Negara dan
                    dibahagikan kepada lima tajuk utama, iaitu:

                      Tajuk 1: Mari Belajar Sejarah

                    Tajuk ini berkaitan tentang pengenalan ilmu sejarah yang mencakupi pengertian,
                    konsep masa, sumber, kaedah, sebab dan akibat serta kepentingan sejarah.
                    Pemahaman  sejarah  turut  didedahkan  melalui  pengkajian  sejarah  diri  dan
                    keluarga, sejarah sekolah serta sejarah setempat.

                      Tajuk 2: Zaman Air Batu

                    Tajuk  ini  menjelaskan  garis  masa  Zaman Air  Batu  yang  membawa  kepada
                    perubahan bentuk muka bumi Asia Tenggara, khususnya Malaysia. Melalui Asas
                    Kemahiran Pemikiran Sejarah, murid boleh meneroka bukti serta menghubung kait
                    ilmu geografi dan sejarah bagi memupuk sikap menghargai anugerah Tuhan untuk
                    kelestarian alam sekitar.

                      Tajuk 3: Zaman Prasejarah

                    Tajuk ini membincangkan zaman prasejarah di Malaysia. Tumpuan pengetahuan
                    kepada maksud, lokasi, alatan serta kegiatan sosial dan ekonomi dalam kehidupan
                    manusia prasejarah.  Kemahiran inkuiri diaplikasikan bagi  membantu  murid
                    melihat perubahan dan kesinambungan zaman prasejarah dengan kehidupan
                    masa kini. Hasilnya murid boleh menghargai warisan negara sebagai khazanah
                    yang bernilai.

                 iv iv
   1   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11