Page 96 - BUKU TEKS TAHUN 6
P. 96
Bacaan Luas
Penubuhan Malaysia
Malaysia telah ditubuhkan pada 16 September 1963. Malaysia terbentuk
hasil penyertaan bersama Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah),
Sarawak dan Singapura. Walau bagaimanapun, Singapura berpisah daripada
Malaysia pada 9 Ogos 1965. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah
dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, di Stadium Merdeka,
Kuala Lumpur. Kira-kira 30 000 orang hadir untuk menyaksikan pengisytiharan
tersebut termasuklah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
Sebelum Malaysia terbentuk, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan
Malaysia yang dipengerusikan oleh Donald Stephen telah ditubuhkan. Tujuan
penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk penerangan tentang konsep
Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan
Brunei dengan lebih jelas.
Bagi tujuan meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara
dan Sarawak tentang gagasan Malaysia, Suruhanjaya Cobbold telah dibentuk
pada 17 Januari 1962. Sepanjang Februari hingga April 1962, suruhanjaya ini
telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada
pelbagai pihak.
Berdasarkan hasil tinjauan Suruhanjaya Cobbold, kira-kira 80 peratus
penduduk Borneo Utara dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia.
Laporan suruhanjaya ini seterusnya telah disahkan oleh perwakilan
Setiausaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian telah ditandatangani di Pejabat
Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Dalam perjanjian
tersebut, persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos
1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh
tersebut terpaksa ditangguhkan. Hal ini berlaku demikian kerana laporan
Setiausaha PBB hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Akhirnya,
pada 16 September 1963, penubuhan Malaysia diisytiharkan.
Sebagai mengenang tarikh penubuhan Malaysia, Hari Malaysia disambut
oleh rakyat Malaysia pada 16 September setiap tahun secara gilang-gemilang
pada peringkat kebangsaan. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia telah diisytiharkan
sebagai cuti umum di Malaysia.
Sumber: www.arkib.gov.my
87

