Page 7 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 7

PRAKATA
                        PENGARAH BAHAGIAN PEMBANGUNAN KURIKULUM

                       Kurikulum  yang  bersifat  dinamik  merupakan  nadi  dalam  sistem  pendidikan
               kebangsaan bagi membentuk generasi masa hadapan. Kurikulum yang digubal perlu
               seiring dengan kompetensi yang diperlukan dalam abad ke-21 dan perubahan dunia
               yang dipacu oleh Revolusi Industri 4.0. Proses ini memerlukan usaha yang rapi dan
               mantap  daripada  pelbagai  pihak  terutama  daripada  pelaksana  kurikulum  dan
               pemegang taruh. Ini akan meningkatkan lagi kualiti pendidikan bagi melahirkan warga
               negara  yang  berakal,  baik  budi  pekertinya  dan  mampu  menyumbang  kepada
               pembangunan  diri,  keluarga,  agama  dan  masyarakat  sejagat  serta  mampu
               menghadapi cabaran abad ke-21.

                       Jurnal Kurikulum ini menyediakan satu pentas untuk berkongsi pandangan, isu
               kurikulum  dan  dapatan  kajian  dalam  kalangan  pendidik.  Pada  tahun  ini,  penulis
               daripada universiti, kolej matrikulasi, institut perguruan, pegawai KPM, JPN dan PPD
               serta  guru  dijemput  untuk  menyumbang  artikel,  sama  ada  berbentuk  konsep  atau
               kajian.  Hasrat  Bahagian  Pembangunan  Kurikulum  (BPK)  adalah  warga  pendidik
               terutama pembangun dasar, penggubal dan pelaksana kurikulum mendapat manfaat
               daripada jurnal ini untuk bersama-sama meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini
               seperti dihasratkan.

                       Sehubungan itu, BPK sekali lagi dapat meneruskan usaha menerbitkan Jurnal
               Kurikulum Jilid 4 bagi tahun 2019 untuk memperkayakan khazanah ilmu dalam bidang
               kurikulum serta menjadi sumber rujukan dan panduan kepada pelbagai pihak yang
               berkepentingan. Ini bermaksud sokongan dalam bentuk sumbangan artikel diharap
               dapat diteruskan supaya jurnal ini boleh diterbitkan setiap tahun.

                       Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih diucapkan kepada para
               penulis dan penyelidik yang telah menyumbang artikel serta tahniah kepada sidang
               editor dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbitan Jurnal Kurikulum
               Jilid 4 Tahun 2019 ini.



               Dr. Mohamed Bin Abu Bakar
               Pengarah
               Bahagian Pembangunan Kurikulum
               Kementerian Pendidikan Malaysia










                                                          vii
   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11   12