Page 7 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 7

PRAKATA PENGARAH BAHAGIAN PEMBANGUNAN KURIKULUM


                       Kurikulum  sebagai  program  pembelajaran  merupakan  nadi  dalam  sistem
               pendidikan kebangsaan, ia memainkan peranan utama dalam membentuk generasi
               muda  yang  akan memimpin  dan membina  negara  kelak.  Pembangunan  kurikulum
               adalah rumit yang melibatkan proses seperti pengkonsepsian reka bentuk, pemetaan
               kandungan,  penyediaan  perincian  program  pembelajaran,  uji  rintis,  dan  penilaian
               kurikulum.    Usaha  ini  memerlukan  input  yang  berbentuk  ilmiah  dan  dapatan  yang
               kukuh  berdasarkan  evidens  yang  dikumpul  daripada  pelaksana  kurikulum  dan
               pemegang taruh.

                       Jurnal  Kurikulum  ini  menyediakan  satu  landasan  untuk  perkongsian
               pandangan,  pembentangan  dapatan  dan  penelitian  isu  kurikulum  di  kalangan
               pendidik.  Penulis  daripada  universiti,  institut  perguruan,  pegawai  KPM  dan  guru
               dijemput untuk menyumbang artikel, sama ada berbentuk konsep atau kajian. Hasrat
               penerbit  adalah  agar  pendidik  secara  amnya,  pembangun  dasar  dan  penggubal
               kurikulum secara spesifiknya dapat memanfaatkan kandungan jurnal ini untuk sama-
               sama  meningkatkan  kualiti  pendidikan  kebangsaan  dan  global,  lantaran  mencapai
               kemenjadian murid seperti dihasratkan.

                       Dengan  penuh  kesyukuran,  Bahagian  Pembangunan  Kurikulum  dapat
               meneruskan usaha menerbitkan Jurnal Kurikulum sebagai sumbangan ilmiah kepada
               bidang  kurikulum  dan  menjadi  sumber  rujukan  kepada  pelbagai  pihak  yang
               berkepentingan.  Adalah diharapkan sokongan dalam bentuk sumbangan artikel dapat
               diteruskan supaya jurnal ini dapat diterbitkan secara berkala.

                       Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada para
               penulis dan penyelidik atas sumbangan artikel. Syabas dan tahniah kepada sidang
               editor serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbitan Jurnal Kurikulum
               Jilid 3 Tahun 2018 ini.



               Shazali Bin Ahmad
               Pengarah
               Bahagian Pembangunan Kurikulum
               Kementerian Pendidikan Malaysia












                                                          vii
   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11   12