Page 8 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 8

PRAKATA KETUA EDITOR


                       Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana Jurnal Kurikulum Jilid  3 Tahun
               2018 berjaya diterbitkan. Jurnal Kurikulum merupakan wadah dan medan bicara ilmu
               para  pendidik  untuk  berkongsi  ilmu  pengetahuan  dan  dapatan  kajian  agar  dapat
               dimanfaatkan oleh semua pengamal pendidikan.

                       Sebanyak  34  buah  artikel  diterima  dari  pelbagai  institusi  pendidikan  seperti
               Institut  Pendidikan  Guru,  Kolej  Matrikulasi,  Pejabat  Pendidikan  Daerah,  universiti,
               sekolah dan Bahagian-Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia. Sumbangan ini
               menunjukkan  sambutan  dan  sokongan  yang  baik  diberikan  oleh  para  pendidik
               terhadap Jurnal Kurikulum. Sejumlah 14 buah artikel dipilih untuk dimuatkan dalam
               jurnal ini.

                       Artikel yang disumbangkan mencerminkan pelibatan dan sumbangan penulis
               dalam pelbagai aspek seperti pembangunan, pelaksanaan, pentaksiran dan penilaian
               kurikulum.  Artikel-artikel  ini  dihasilkan  berdasarkan  kerangka  konsep,  pengalaman
               akademik atau dapatan kajian yang melibatkan pelbagai institusi pendidikan, seperti
               prasekolah,  sekolah  harian,  sekolah  berasrama  penuh,  sekolah  tahfiz,  kolej
               matrikulasi  dan  institut  pendidikan  guru.  Sumbangan  ini  telah  melahirkan  sebuah
               jurnal yang mengandungi konten ilmiah yang lebih bermakna dan mencakupi pelbagai
               jenis atau peringkat pendidikan. Para penulis telah mempamerkan kesungguhan dan
               itqan dalam penulisan mereka. Syabas diucapkan kepada semua penulis.

                       Setinggi-tinggi  penghargaan  dan  terima  kasih  dirakamkan  kepada  pihak
               pengurusan  tertinggi  Bahagian  Pembangunan  Kurikulum  atas  sokongan  dan
               bimbingan dalam menjayakan penerbitan jurnal ini. Ribuan terima kasih juga ditujukan
               kepada semua editor yang telah memberi kerjasama yang baik dalam memastikan
               artikel yang dipilih menepati kriteria yang ditetapkan.

                       Semoga usaha menerbitkan jurnal ini dapat diteruskan bagi memartabat dan
               memperkasakan  profesion  pendidikan.  Penghasilan  jurnal  ini  menyuntik  semangat
               penulisan  ilmiah  dalam  diri  warga  pendidik  selaras  dengan  hasrat  meningkatkan
               profesionalisme pendidik seperti dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
               Malaysia 2013-2025.

               Sekian.

               Hajah Nor’Aidah Binti Nordin
               Ketua Editor










                                                           viii
   3   4   5   6   7   8   9   10   11   12   13