Page 76 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 76
Hipotesis Kajian
Berikut adalah hipotesis kajian yang dibina dalam kajian ini, iaitu:
Ho1 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara keupayaan menggunakan KOMSAS
dengan kompetensi pengajaran guru.
Ho2 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara keupayaan menggunakan i-Think dengan
kompetensi pengajaran guru.
Ho3 Tidak terdapat pengaruh yang signifikan antara keupayaan menggunakan KOMSAS dan
i-Think terhadap kompetensi pengajaran guru.
Ho4 Tidak terdapat kesesuaian model yang dibina dengan data kajian.
Kepentingan Kajian
Amir Salleh (2010) menyatakan bahawa, kerja-kerja penyelidikan semakin diakui
kepentingannya oleh pelbagai lapisan pendidik, khususnya kumpulan guru yang terlibat secara
langsung dalam proses pembelajaran dan pemudah cara dalam bilik darjah. Melihat
kecenderungan tersebut, maka kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti pengaruh keupayaan
guru menggunakan KOMSAS dan i-Think bagi meningkatkan kompetensi pengajaran bahasa
Melayu dalam bilik darjah. Hasil kajian ini diharap akan dapat menjadi garis panduan kepada guru
bahasa Melayu iaitu bagaimana dengan keupayaan menggunakan KOMSAS dan i-Think dapat
membantu guru merancang, melaksana dan mentaksir pengajaran Bahasa Melayu lebih efektif.
Dapatan kajian diharap dapat membantu guru menggunakan KOMSAS dan i-Think terhadap
menjadikan pengajaran guru lebih efisien, menggalakkan penglibatan aktif dan motivasi murid
serta membantu penerapan kemahiran berfikir.
Batasan Kajian
Batasan kajian paling utama adalah melihat kepada faktor pencapaian bahasa Melayu.
Pengkaji sedar bahawa terdapat banyak faktor yang menyokong kepada pencapaian pelajar seperti
faktor ibubapa, persekitaran sekolah, kepimpinan pengetua dan juga kompetensi guru termasuklah
kompetensi pengajaran guru. Namun, dalam kajian ini, pengkaji lebih berfokus terhadap masalah
yang berlaku dalam kompetensi pengajaran guru dalam bilik darjah. Hal ini kerana, kompetensi
pengajaran amat berkait rapat dan paling memberi pengaruh terhadap pencapaian murid. Batasan
kajian turut mengambil kira beberapa faktor luaran dan dalaman berkaitan keupayaan penyelidik
menjalankan kajian dengan logik asbab. Kajian ini umumnya dibuat hampir di semua daerah
seluruh negeri Sabah yang merangkumi 219 buah sekolah menengah. Kajian tertumpu di sekolah
dalam negeri Sabah disebabkan oleh faktor tempoh kajian, lokasi kajian yang cukup luas, kos
kajian dan sumber tenaga manusia. Keputusan kajian ini tidak dapat digeneralisasi untuk semua
guru bahasa Melayu di negeri ini. Hal ini kerana, pengkaji mengambil kira faktor pemilihan
sampel yang telah dibuat iaitu berdasarkan sekolah-sekolah terpilih. Keputusan kajian hanya
melaporkan situasi yang wujud di sekolah berkenaan sahaja serta bergantung pula kepada
ketetapan maklum balas para responden terhadap soal selidik yang diedarkan. Responden pula
hanya terdiri daripada guru bahasa Melayu Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, memandangkan
kajian melibatkan KOMSAS yang hanya diajar pada peringkat sekolah menengah. Hal ini kerana,
adalah tidak adil untuk menilai kompetensi pengajaran guru lain yang tidak arif tentang ilmu
KOMSAS malah tidak pernah mengajarnya.
66

