Page 7 - Matematik Buku Panduan
P. 7
Pendahuluan
Program Pemulihan Khas merupakan satu program yang disediakan untuk murid-murid yang mengalami masalah dalam
penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira yang kompleks. Masalah ini disebabkan beberapa faktor
seperti kesediaan belajar, kaedah belajar, persekitaran, masalah bahasa dan sosio ekonomi.
Dalam proses melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, guru pemulihan khas sewajarnya memahami dan
mengetahui maklumat berkaitan kemahiran asas matematik yang akan diajar. Guru yang baik sentiasa berusaha
mempelajari dan menguasai kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan untuk memastikan seseorang murid dapat
menguasai kemahiran asas matematik.
Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Pemulihan Khas ini diterbitkan sebagai panduan kepada
guru bagi merancang pengajaran dan pembelajaran asas Matematik. Buku panduan ini mengandungi kemahiran-
kemahiran asas matematik yang perlu dikuasai setiap murid pemulihan khas. Ia turut merangkumi objektif yang perlu
dicapai selepas proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Cadangan aktiviti dalam buku ini boleh dijadikan
panduan kepada guru pemulihan khas dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran dan membantu guru membina
rancangan pengajaran dengan lebih berkesan dan sistematik.
Oleh kerana tahap keupayaan dan kecenderungan setiap murid berbeza, diharapkan guru-guru pemulihan khas
dapat memanfaatkan buku panduan ini untuk merancang pelbagai strategi, kaedah dan teknik ke arah pengajaran dan
pembelajaran yang lebih berkesan. Semoga usaha ini dapat merealisasikan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia
untuk membantu mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas matematik.
iii

