Page 189 - JALAN PULANG
P. 189
“Memang betul kata lebai tu. Semuanya kehendak Tuhan. Bukan
kehendak kita sebagai manusia. Tapi kalau direnung-renung balik
bencana yang berlaku adalah balasan Tuhan kepada manusia yang
melakukan dosa di atas muka bumi ini,” Osman mencelah.
“Benar, Man. Kita sebagai hamba hendaklah sentiasa taat dan
patuh pada segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Agar mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat,” ucap Lebai
Dollah.
“Oh, ya! Lebai perasan tak. Dah lama Haji Deris tak datang ke
masjid ni. Kalau tak silap saya dah hampir sebulan. Sembahyang
Jumaat pun dia pergi ke masjid Kampung Bidara,” kata Osman.
“Entahlah, Man. Aku sendiri pun tak faham. Kenapa tiba-tiba dia
tak mahu jejakkan kaki di masjid ni …,” keluh Lebai Dollah sebaliknya
dalam nada suara lemah.
“Apa yang saya dengar sekarang dia rapat dengan guru agama
dari Tanah Seberang,” jelas Osman pada Lebai Dollah.
“Guru agama dari Tanah Seberang?” soal Lebai Dollah sambil
mengangkat kepala tinggi sedikit memandang wajah Osman.
189

