Page 142 - Koleksi Ceritera Bitara
P. 142
KERANA SEGURIS LUKA
Bumi Sarawak dibasahi hujan lagi. Musim tengkujuh kini tiba setelah
beberapa purnama menyepi dan menyembunyi diri. Aku termenung
di beranda teratak usangku. Merenung rintik-rintik hujan yang menitis
deras dari atas bumbung nipah. Indah. Cukup indah. Seperti titisan
kristal yang berkilauan. Silir yang menghembus lembut sungguh
menenangkan jiwa. Acap kali aku terleka dengan sapaannya yang
lembut pada pipiku. Aku memejamkan mataku sejenak. Menikmati
nikmat damai yang sudah lama tidak aku rasai. Peristiwa sedekad
yang lalu tiba-tiba tertayang pada layar mindaku.
…….
“Pehah, teman ibu ke pekan nak. Ibu nak beli barang dapur
sikit”, ujar ibuku dengan nada romantis. Mana taknya, nada itu
memang kerap kudengar tiap kali ibu ingin meminta bantuanku.
Kiranya nada romantis digunakan agar aku lembut hati untuk
meringankan tangan membantunya. “Ala bu, Pehah penat lah.
Pehah nak belajar. UPSR tak lama lagi. Ibu nak tengok anak ibu yang
cantik ni gagal UPSR ke?”, bentakku dengan nada sedikit sinis.
Vokalku juga sedikit tinggi saat itu. Ibu tersenyum mendengar
alasanku.
“Sekejap je Pehah. Bukannya lama pun. Kalau kau
menghadap buku tu tak guna jugak kalau fikiran melayang jauh
Pehah oii. Sekali sekala kau kena lah jugak hirup udara segar kat luar
tu. Takkan nak terperap kat rumah je. Nanti orang kampung cakap
kau tu kera sumbang. Kau nak?”, balas ibu dengan panjang lebar.
Aku terdiam sejenak. Memikirkan hujah balas. “Tapi bu........”, aku
masih berdalih. “Dah. Takda nak tapi tapi lagi. Ibu nak kau teman
ibu jugak. Ibu tak kira”, ujar ibu dengan tegas. Aku mengalah.
Terdiam seribu bahasa.
Aku lantas masuk ke bilik untuk berkemas dengam muka
yang masam dan monyok. Usai berkemas, aku dan ibu berjalan kaki
ke jeti. Kami menaiki penambang untuk ke pekan. Sudah menjadi
kelaziman bagi penduduk kampung di sini untuk menggunakan
pengangkutan air sebagai alternatif ke pekan seberang dengan
lebih cepat. Tambangnya pun murah. Hanya 50 sen seorang.
Almaklumlah, perkampungan nelayan begitulah realitinya. Kami
lebih selesa hidup dalam kesederhanaan tanpa pembangunan
kerana hubungan kemasyarakatan di kampung kami lebih erat dan
kami hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing tanpa
pembangunan yang moden. Asal ada sahaja kenduri-kendara, pasti
orang kampung kami akan bergotong-royong.
110

