Page 75 - Koleksi Ceritera Bitara
P. 75
PENGENALAN NAZAM
Nazam ialah puisi yang berasal dari kesusasteraan Arab-Parsi.
Mengikut Kamus Dewan (1994:858) “Nazam” ialah perkataan Arab
yang bermaksud gubahan puisi seperti sajak dan syair, ”bernazam”
adalah bercerita dengan lagu, bersajak atau bersyair, manakala
menazamkan bermaksud menceritakan dengan lagu atau
mengubah dan menyajakkan. Kamus Dewan juga memberikan kata
lain yang digunakan untuk nazam iaitu nalam. Mengikut Kamus At-
tullab Arab-Melayu (1994:) nazam dalam bahasa Arab bererti
merangkai, mengarang, menyusun dan mengatur. Makna ini
termasuklah merangkai, mengarang dan menyusun kata-kata
dalam mencipta puisi. Definisi di atas menunjukkan bahawa dalam
bahasa asalnya, nazam bermakna puisi secara umum. Di samping
itu istilah ‘bernazam’ pula digunakan bagi maksud berlagu. Di
dalam hal ini istilah Nazam mengalami kedudukan yang sama
dengan istilah syair dan gurindam. Ketiga-tiga perkataan itu diambil
dari bahasa asing. Syair dan nazam diambil dari bahasa Arab,
gurindam pula berasal dari bahasa Tamil. Ketiga-tiga perkataan ini
bermaksud gubahan puisi secara umum di dalam bahasa asal
masing-masing. Setelah diterima ke dalam bahasa Melayu,
perkataan-perkataan ini kemudian mengalami pengubahsuaian
dan digunakan sebagai istilah teknikal yang merujuk kepada sesuatu
jenis puisi yang mempunyai struktur, isi dan fungsi yang tersendiri.
Perkataan nazam yang digunakan sebagai istilah teknik kepada
suatu jenis puisi mula ditemui dalam Tajus Salatin yang dikarang oleh
Bokhari al-Jauhari kira-kira dalam tahun 1603.
43

