Page 80 - Koleksi Ceritera Bitara
P. 80
PENGENALAN SAJAK
Perkataan sajak membawa pengertian sebuah karangan
berangkap seperti pantun dan syair. Perbezaannya, sajak
merupakan puisi moden iaitu karangan berangkap yang lebih
bebas bentuknya dibandingkan dengan pantun dan syair. Susunan
kata dan isi pada sajak mempunyai beberapa sifat tertentu.
Pertama, melihat pada tema sebuah sajak. Dalam sebuah
sajak tema ialah persoalan pokok atau utama yang hendak
disampaikan oleh penyair. Dalam sebuah sajak juga terdapat
bentuk dalaman dan bentuk luaran. Bentuk dalaman merupakan
ciri-ciri abstrak yang terdapat dalam sajak, iaitu meliputi cara
persembahan perasaan dan pemikiran seseorang penyair itu
terhadap pengertian yang ingin disampaikan. Manakala bentuk
luaran merupakan sifat-sifat binaan yang dapat dilihat dengan jelas
seperti susunan baris dalam rangkap, susunan atau jumlah
perkataan dalam baris dan rima di hujung baris dalam rangkap.
Seterusnya, aspek nada juga merupakan salah satu aspek
yang berkait rapat dengan tema, persoalan, rima dan bentuk
sesebuah sajak. Nada bermaksud alunan tinggi, rendah, lembut
atau keras yang terhasil daripada pelbagai jenis bunyi dalam
sesebuah sajak. Nada ini amat berhubung erat dengan perasaan
dan pemikiran penyair yang diungkapkan dalam sesebuah sajak.
Selain itu, kata-kata tertentu dipilih dan digunakan sebagai simbol
bagi menyatakan sesuatu di luar erti kata-kata itu sendiri. Hal ini
adalah bertujuan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada
pembaca sebuah sajak.
Kesemua aspek yang dinyatakan di atas terangkum dalam
sebuah sajak yang mewujudkan sebuah gaya bahasa. Gaya
bahasa ini merupakan cara berbahasa yang digunakan oleh
penyair bagi menimbulkan imej iaitu kesan gambaran yang timbul.
Imej atau kesan gambaran ini yang membantu pembaca
memahami seterusnya mendalami makna sebenar yang terdapat
dalam sebuah sajak.
48

