Page 3 - BUKU PROGRAM MPPB@KMS 2020
P. 3

SEKAPUR SIREH SEULAS PINANG






       DR. HAJAH ROSNARIZAH BINTI ABDUL HALIM
       Pengarah

       Bahagian Matrikulasi
       Kementerian Pendidikan Malaysia

       Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

       Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-
       sama menjayakan Pendaftaran dan Minggu Pengurusan Pelajar Baharu Sesi 2020/2021 Kolej Matrikulasi
       Selangor. Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang telah ditawarkan dan memilih untuk mendaftar di
       Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sesungguhnya kehadiran saudara di Program
       Matrikulasi merupakan langkah yang tepat bagi melengkapkan dan mempersiapkan diri sebagai seorang
       cendekiawan berketerampilan, berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mempunyai sifat kepimpinan terpuji.

       Kemasukan pelajar baharu pada sesi ini dilihat amat berlainan sama sekali kerana kita terpaksa
       menyesuaikan diri dengan norma baharu akibat daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak
       akhir 2019. Walau bagaimanapun, KPM dan Bahagian Matrikulasi telah menyediakan garis panduan yang
       sesuai bagi memastikan proses pendaftaran pelajar Program Matrikulasi berjalan dengan lancar.


       Program Matrikulasi merupakan program persediaan pra-universiti yang berteraskan Outcome Base Education
       (OBE). OBE merupakan suatu proses akademik dan pendekatan dan nilai kepada pelajar yang perlu dicapai
       sebelum pelajar tamat pengajian (Spady, 1994). Pelajar matrikulasi seharusnya mampu mencipta
       kecemerlangan yang lebih bermakna di Program Matrikulasi dan seterusnya di Institut Pengajian Tinggi (IPT)
       nanti. Sehubungan dengan itu, pada sesi 2020/2021 ini, Bahagian Matrikulasi merencanakan pelbagai usaha
       agar pelajar berdaya saing pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.


       Bagi membentuk modal insan cemerlang, saya menyeru semua pelajar baharu untuk mengikuti kaedah
       pembelajaran yang diterapkan sebaik mungkin, bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum yang
       dirancang serta mempertingkatkan kemahiran insaniah yang diperlukan oleh seseorang pelajar sebelum
       melangkah ke alam universiti. Seluruh warga matrikulasi sentiasa bersedia memberi didikan, dorongan dan
       bimbingan kepada semua pelajar bagi memastikan Program Matrikulasi terus unggul sebagai penjana pelajar
       berkualiti bagi mengikuti kursus-kursus kritikal di IPT.

       Program Matrikulasi KPM adalah pembekal utama pelajar ke IPT dalam bidang Science, Technology,
       Engineering, Mathematics (STEM) dan Perakaunan untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah pertama.
       Mulai 1 Januari 2017 semua lulusan Program Matrikulasi KPM akan dianugerahkan Sijil Matrikulasi KPM dan
       layak memohon ke jawatan gred 29 dalam perkhidmatan awam sepertimana pemegang diploma atau STPM.

       Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar baharu Program Matrikulasi KPM sesi
       2020/2021. Tetapkan tekad dan gandakan usaha, semoga impian saudara untuk berjaya ke menara gading,
       dan memperoleh segulung Ijazah akan tercapai sebaik menamatkan pengajian di Program Matrikulasi.
       Selamat Datang ke Program Matrikulasi KPM.

       Wasalam.


       DR. HAJAH ROSNARIZAH BINTI ABDUL HALIM







                                                                                                                    1
   1   2   3   4   5   6   7   8