Page 2 - LAPORAN PELAKSANAAN PdPR 18 OKTOBER 2021 - 22 OKTOBER 2021
P. 2
LAPORAN PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI RUMAH (PdPR)
BERMULA 18 OKTOBER 2021 HINGGA 22 OKTOBER 2021
SEKOLAH KEBANGSAAN STELLA MARIS (M), TANJUNG ARU
PENDAHULUAN
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada pengumuman YAB Perdana Menteri
Malaysia pada 15 Oktober 2021 berkaitan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi
negeri Sabah ke Fasa 3 (PPN) berkuat kuasa pada 18 Oktober 2021. KPM telah menetapkan
bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah
KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh
peralihan ke fasa tersebut.
Sehubungan dengan itu, pengoperasian institusi Pendidikan bawah KPM bagi negeri Sabah
terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 2 PPN pada 18 Oktober 2021. Apabila negeri
Sabah beralih ke Fasa 3 pada 18 Oktober 2021, maka pengoperasian institusi Pendidikan
berdasarkan ketetapan Fasa 3 bagi negeri Sabah akan bermula pada 1 November 2021.
Pengoperasian Fasa 3 PPN ini melibatkan prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK)
di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi
(PPKI) yang akan hadir ke sekolah. Murid-murid sekolah rendah yang lain akan meneruskan sesi
pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Peratus kehadiran pada minggu ini agak memuaskan iaitu 17 buah kelas mencapai
kehadiran 90% ke atas dan sebuah kelas mencapai kehadiran 80% ke atas. Terdapat enam buah
kelas mencapai kehadiran 100% sepanjang minggu ini iaitu kelas 4 Merah, 4 Biru, 4 Hijau, 5 Hijau,
6 Kuning dan 6 Biru bagi Tahap 2.
OBJEKTIF
1. Memastikan proses PdPc berjalan seperti yang dirancang.
2. Memastikan murid dapat melalui proses pembelajaran secara berterusan walaupun tidak
dapat hadir ke sekolah.
3. Memastikan sukatan pelajaran disampaikan dengan sebaiknya.
KAEDAH PELAKSANAAN
Sekolah telah membuat ketetapan PdPR semua mata pelajaran disampaikan dan
dilaksanakan menggunakan medium Telegram. Bahan dan aktiviti pembelajaran yang diberi boleh
diakses dan dibuat oleh murid semasa di rumah. Terdapat juga guru-guru yang menyediakan
modul pembelajaran untuk digunakan oleh murid-murid semasa PdPR dijalankan. Guru-guru juga
menggunakan buku teks dan buku kerja sepanjang PdPR ini. Aktiviti pembelajaran pula
menggunakan pelbagai kaedah yang sesuai seperti yang disarankan oleh KPM dalam Manual
Pengajaran dan Pembelajaran Versi 2.

