Page 6 - SK Tahun 6 Pendidikan Kesihatan
P. 6
PENDAHULUAN
Buku teks Pendidikan Kesihatan Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) ini ditulis
berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Kesihatan
Tahun 6.
Pendidikan kesihatan merupakan literasi kesihatan yang bermatlamat untuk
melahirkan murid yang tahu, peka dan boleh menguruskan kesihatan diri, keluarga,
masyarakat dan persekitaran melalui pengetahuan, kemahiran, amalan gaya hidup
sihat, dan bersikap positif untuk mencapai kesejahteraan hidup serta jangka hayat
panjang yang berkualiti.
Dokumen Standard Kurikulum Pendidikan Kesihatan merangkumi modul
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), pemakanan dan pertolongan cemas.
Kurikulum Pendidikan Kesihatan Tahun 6 ini menekankan aspek mengurus perubahan
fizikal dan reproduktif, memahami risiko tingkah laku seksual, penyalahgunaan bahan,
kemahiran asertif, pengurusan mental dan emosi, peranan murid dalam institusi
kekeluargaan, pencegahan penyakit dan aspek keselamatan. Kurikulum ini juga
memberikan pendedahan tentang amalan pemakanan yang seimbang serta aplikasi
penggunaan peti pertolongan cemas serta alternatif bantu mula.
Pelbagai kaedah dan strategi penyampaian digunakan untuk menyampaikan
maklumat dengan mengambil kira aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti
mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Ini bertujuan untuk menggalakkan
murid menaakul, menyelesaikan masalah dan berfikir di luar kotak melalui aktiviti
yang mencabar seperti menghasilkan projek dan mencipta bahan baharu sebagai
aktiviti pengukuhan pada setiap akhir pembelajaran.
Diharapkan supaya kepelbagaian cara penyampaian ini dapat merangsang
kreativiti, inovasi dan kemahiran berfikir murid semasa menghadapi pelbagai situasi
dalam kehidupan sebenar mereka. Bahan dan aktiviti dalam buku teks ini juga boleh
diubah suai mengikut keadaan, teknologi dan kreativiti guru agar pembelajaran
menjadi lebih menarik dan berkesan.
iv

