Page 39 - Buku Teks Geografi T5_Neat
P. 39
BAB 2 : Foto
Contoh Tafsiran Foto
Foto satelit menunjukkan kawasan Kuala Kedah, Kedah. Ciri pandang darat fizikal yang
terdapat di kawasan ini ialah sungai, hutan paya dan kawasan tanah pamah. Ciri pandang darat
budaya yang terdapat di kawasan ini ialah jalan raya, jambatan, petempatan dan sawah padi.
Keseluruhan muka bumi dalam foto ini terdiri daripada kawasan tanah pamah yang rata.
Kawasan tanah pamah ini dibangunkan dengan kawasan petempatan, jaringan pengangkutan
dan aktiviti pertanian.
Sungai Kedah merupakan saliran utama di kawasan ini yang mengalir ke arah barat. Kegiatan
ekonomi utama penduduk ialah pertanian dan perikanan. Tanaman yang diusahakan secara
meluas dalam peta ialah padi terutama di sebelah utara dan selatan Sungai Kedah. Manakala
aktiviti perikanan dapat dikaitkan dengan adanya Sungai Kedah dan kawasan paya di pinggir
sungai terutama di bahagian timur peta. Sungai Kedah turut menjadi laluan pengangkutan air.
Pekan Kuala Kedah menjadi tumpuan penduduk kerana mempunyai banyak kemudahan
seperti pusat perniagaan dan pejabat kerajaan. Manakala pola petempatan di sini adalah jenis
pola petempatan berpusat dan terdapat juga pola pertempatan berjajar di sepanjang jalan raya.
Aktiviti 2.2
Tajuk: Mencetak dan mentafsir foto satelit.
Objektif: Mentafsir maklumat pandang darat fizikal dan pandang darat budaya dalam foto satelit.
Alatan: Komputer, pencetak dan kertas.
Langkah-langkah:
1. Guru memberikan taklimat tentang tugasan yang perlu dibuat dan mengagihkan murid
kepada beberapa kumpulan kecil.
2. Guru memandu murid untuk menggunakan laman yang menawarkan peta satelit seperti
Google Earth di http://earth.google.com/download-earth.html.
3. Setiap kumpulan dikehendaki mencari lokasi yang bersesuaian.
4. Cetak foto bagi lokasi yang dikehendaki.
5. Setiap kumpulan mentafsir foto dengan bimbingan guru.
6. Bentangkan tafsiran foto kumpulan kepada kelas.
7. Guru membuat penilaian.
Info
Info
Geogra
Peranan dan Tugas Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM)
JUPEM berperanan menyediakan infrastruktur ukur di seluruh negara termasuk penggambaran foto udara.
JUPEM membekalkan gambar udara sama ada dalam bentuk salinan keras atau berdigit berdasarkan kamera
udara analog dan digital. Foto udara ini dikategorikan sebagai Dokumen Geospatial Terperingkat.
(Sumber: Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, 9 November 2020)
31 31

