Page 6 - Draft 1 BUKU PROGRAM MPPB
P. 6

Seulas Pinang
















         Oleh AMRAN BIN MOHD SAID
         Pengarah
         Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
         Kementerian Pendidikan Malaysia




         Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

         Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan menyampaikan
         sepatah dua kata di dalam buku program Minggu Pengurusan Pelajar Baharu Sesi 2022/2023. Selamat datang
         dan tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar lepasan SPM 2021 yang menerima tawaran melanjutkan
         pelajaran ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan.

         Seperti yang kita sedia maklum pada saat ini, negara kita sedang berada dalam fasa endemik di mana kita
         masih lagi berhadapan dengan penularan wabak virus COVID 19. Sebelum ini, pelbagai sektor seperti
         ekonomi, pelancongan telah terjejas dan sektor pendidikan juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun,
         dengan peralihan kepada fasa endemik ini serba sedikit telah memberi ruang dan peluang kepada kita untuk
         kembali kepada norma pendidikan sebelum ini di mana pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan
         secara fizikal sepenuhnya bermula tahun ini. Tambahan lagi, para pendidik dan pelajar dilihat telah pun
         menyesuaikan diri dengan dunia pendidikan digital bagi menggantikan pengajaran dan pembelajaran secara
         bersemuka di bilik darjah sejak dua tahun lalu. Pembelajaran digital bukanlah sesuatu yang terlalu asing bagi
         kita kerana pendedahan penggunaannya sedang berkembang luas sebelum PKP lagi sehingga kini.

         Pada hakikatnya, saya melihat ruang dan peluang pengajaran dan pembelajaran adalah semakin baik dengan
         kebolehan para pensyarah dan pelajar untuk memanfaatkan kedua-dua kaedah pengajaran iaitu fizikal dan
         digital secara lebih efektif. Kita harus bijak menggunakan peluang yang ada untuk menerokai ilmu menerusi
         pelbagai platform sama ada menerusi atas talian mahupun secara bersemuka. Setiap pelajar perlu
         mengamalkan pembelajaran abad ke-21 yakni mereka perlu belajar secara kendiri serta bertanggungjawab
         terhadap pelajaran mereka. Mereka tidak seharusnya boleh berpuas hati dengan pencapaian yang telah
         dicapai kerana proses pembelajaran merupakan proses yang berterusan sepanjang hayat.


         Justeru itu, saya menyeru pelajar dan pensyarah agar tidak patah semangat dalam menimba ilmu
         pengetahuan. Tingkatkan potensi diri dan pada yang sama menyahut cabaran untuk mengamalkan norma
         baharu dalam dunia pendidikan fasa endemik yang disarankan.

         Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, tahniah dan terima kasih kepada semua
         JK Pelaksana, khususnya kepada pihak pengurusan dan seluruh warga KMNS di atas segala sumbangan
         tenaga dan idea dalam menjayakan minggu MPPB ini. Tingkatkanlah usaha dan bekerjalah dalam satu
         pasukan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan masa depan negara.

         Sekian, Selamat Maju Jaya.
         Amran bin Mohd Said
   1   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11