Page 3 - BUKU UNSUR TAUTAN CHANGED
P. 3
Pendahuluan
Kebitaraan murid dinilai secara berterusan melalui gabungan
kebijaksanaan berfikir, kepetahan dalam mengutarakan idea
secara tersusun, bernas dan dapat mengungkapkan sesuatu idea
secara kritis dan paling penting dapat meyakinkan khayalak
terhadap apa-apa yang diperkatakan sama ada dalam bentuk
lisan mahupun tulisan. Kelebihan ini akan bernilai dan lengkap
sekiranya unsur-unsur berbahasa turut diselitkan seperti
penguasaan tatabahasa yang cemerlang, penggunaan kosa
kata menarik, unsur kecindan turut diselitkan apatah lagi
keupayaan menerapkan elemen keagamaan dipamerkan
semasa menyampaikan ujaran. Kombinasi kebijaksanaan dan
kemahiran insaniah sebegini diperlukan bagi mendasari
pembentukan modal insan seperti yang dihasratkan.
Kecekapan merakamkan pengetahuan secara bertulis dilihat
amat perlu dan tidak terbatas kepada keperluan peperiksaan
semata-mata. Masyarakat yang bertamadun tinggi memperoleh
dan menyebarkan ilmu melalui penulisan. Tulisan yang baik dan
berkesan dapat menyebarkan mesej, fakta, ilmu dan juga hasrat
penulis kepada pembaca sehingga berlaku pemindahan
maklumat dan perluasan ilmu pengetahuan. Melalui penulisan,
ilmu dapat dikembangkan dan disebarkan khususnya apabila
penulisan mendukung sifat yang lebih abadi daripada lisan.
Sesuai dengan hakikat penulisan merupakan satu keperluan,
maka dapatlah difahami betapa pentingnya murid menguasai
kemahiran menulis. Masalah penulisan karangan timbul
disebabkan oleh gaya pengajaran guru di dalam kelas. Kurangnya
pengetahuan guru tentang unsur tautan akan memberi impak
kepada murid. Murid tidak akan mendapat bimbingan yang
sepatutnya untuk menghasilkan ayat yang mempunyai pertautan
idea dalam perenggan.
Modul ini diharap dapat menjadi satu panduan yang
sistematik untuk mengupaya pengajaran unsur tautan secara
sedar di bilik darjah. Panduan tersebut penting agar murid dapat
melalui tertib mengarang dengan baik melalui kesatuan idea dan
gaya persembahan yang menarik, bermakna dan berkesan.
3

