Page 8 - BPS 2020 FINAL untuk cetakan
P. 8
1.8 SEJARAH SEKOLAH
Sekolah ini telah ditubuhkan pada 2hb April 1962 dengan kelasnya menumpang di Sekolah Inggeris Derma. Dalam
tahun 1963 kelas telah dipindah dan ditumpangkan di Sekolah Kangar lelaki yang terletak di tapak berhampiran
Pejabat Pos Kangar hari ini.
Pembelajaran di sekolah ini bermula pada 7 Mei 1963 (dalam penggal kedua). Pada ketika itu jumlah pelajar ialah
seramai 326 orang dengan 10 bilik darjah (9 aliran Melayu dan 1 aliran Inggeris ). Seramai 15 orang guru mengajar
pada masa itu, termasuk Guru Besar iaitu Encik Abdullah Bin Zakaria. Ketika itu, sekolah telah diberi nama Sekolah
Pelajaran Lanjutan. YTM Tengku Sulaiman Ibni Al Marhum Tengku Bendahara Abu Bakar telah merasmikan
pembukaannya pada 20hb Ogos 1963. Memandangkan bilangan pelajar yang semakin bertambah, sebuah lagi
bangunan didirikan bagi menampung para pelajar seramai 465 orang. Bangunan ini dirasmikan oleh Duli Yang
Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Almarhum Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 14hb Mei
1968. Yang Berhormat Menteri Pelajaran, Encik Mohd Khir Johari dan YAB Menteri Besar Perlis turut hadir bersama
untuk berucap dalam majlis tersebut. Bersempena itu, sekolah ini telah diubah nama kepada Sekolah Menengah
Syed Sirajuddin iaitu sempena nama YTM Raja Muda Perlis masa itu. Jumlah guru pada masa itu seramai 22
orang.
Berikutan dengan perkembangan pelajaran sains dan teknologi sebuah lagi bangunan didirikan untuk dijadikan
makmal pada tahun 1971 bagi memenuhi keperluan tersebut. Perpustakaan merupakan tempat membekalkan alat
bantu yang penting dalam proses pembelajaran. Lantaran itu, pada tahun 1975 sebuah perpustakaan telah
didirikan dan dirasmikan oleh YB Datuk Mansor Osman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 6hb Julai 1977.
Pada tahun 1977 juga, sekolah ini telah dinaik taraf sebagai sekolah menengah atas iaitu dengan wujudnya 2 kelas
tingkatan empat . Sekitar tahun 1988 hingga 1990 sebuah bangunan bilik darjah 2 tingkat didirikan serta dua buah
bangunan bilik darjah satu tingkat didirikan secara bergotong-royong oleh ibu bapa dan kakitangan sekolah.
Seterusnya dua buah kelas dan sebuah makmal sains turut dibina.
Sekolah ini mencapai kemajuan dari segi pendidikan berikutan kewujudan sebuah kelas sains tulen yang
diperkenalkan sejak tahun 1995. Dengan kemasukan alaf baru 2000, pihak sekolah telah mengambil inisiatif
membina sebuah bangunan lagi bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat. Bangunan 2 tingkat
tersebut terdiri daripada lima buah bilik darjah dan tiga buah bengkel Kemahiran Hidup.
Pada tahun 2000 sekolah ini telah mewujudkan persekolahan sesi pagi untuk tingkatan dua, tiga, empat dan lima
manakala sesi petang bagi pelajar tingkatan satu. Demi mewujudkan semula sistem persekolahan satu sesi maka
sebuah bangunan terdiri daripada lima bilik darjah didirikan pada tahun 2003. Pada Disember 2007 dua buah
bangunan gotong-royong dan bangunan tingkatan enam dirobohkan untuk didirikan tiga buah bangunan empat
tingkat. Pada tahun 2008 sesi pengajaran dan pembelajaran untuk kelas kelas tertentu diadakan.
Pelaksanaan OPs English & Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV). Program Oral Proficiency in English for
Secondary Schools (Ops English) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk meningkatkan
kemahiran mendengar dan bertutur oleh pelajar Malaysia dan telah dilaksanakan di SMK Syed Sirajuddin pada
tahun 2014. Begitu juga dengan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) juga telah dilaksanakan pada tahun 2014.
Program ini adalah untuk menyediakan peluang kepada murid lepasan UPSR agar menjadi modal insan
berkemahiran bekerja dan bersedia melanjutkan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Mulai tahun 2018, sekolah ini telah diberi mandat dan kepercayaan oleh pihak JPN Perlis dan KPM untuk menjadi
sebuah Pusat Tingkatan Enam (Mod 2). Semua pelajar dan guru tingkatan enam dari SMK Dato’ Sheikh Ahmad,
SMK Arau dan SMK Syed Sirajuddin digabungkan di bawah satu bumbung dan dikenali sebagai SEMSIRA SUPER
SIX. Sebanyak 7 kelas telah dibuka untuk pelajar lepasan SPM setiap tahun dengan Aliran Sains dan
Kemanusiaan. Jumlah keseluruhan kelas adalah sebanyak 14 buah.
BPS 2020 | 8

