Page 8 - Buku Pengurusan SMKMN 2021
P. 8
1
PENGENALAN
1.1 Pengenalan
1.1.1 Kata Alu-aluan Tuan Pengetua
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin
dan limpah kurnia-Nya, Buku Pengurusan SMK Malim Nawar Tahun 2021 dapat direalisasikan dengan
jayanya. Syabas dan tahniah kepada jawatankuasa yang telah mengemblengkan tenaga, idea dan
pandangan untuk merealisasikan buku pengurusan yang merangkumi skop pengurusan sekolah iaitu
pentadbiran, kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid. Dalam melaksanakan tugas yang
diamanahkan, hala tuju, kejelasan idea, bidang tugas dan kerangka sesuatu program itu perlu difahami
oleh semua guru agar matlamat dan objektif yang digarap dapat dicapai.
Saya amat yakin dengan peningkatan kualiti berkerja dan keilmuan dalam pengurusan boleh
merancakkan proses kerja sekolah ke arah menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-
2025 dan Program Transformasi Sekolah 2025. Dalam suasana yang kian mencabar dan kita berdepan
dengan Covid-19 serta menerima hakikat Normal Baharu maka sudah tentu aktiviti PdPc turut berubah.
Kreativiti dalam kalangan guru amat diperlukan bagi melaksanakan aktiviti yang lebih berkesan.
Pelaksanaan kepada Perancangan Strategik JPN Perak dan slogan “We Deliver” mesti dihayati bersama.
Selain itu juga kita akan menekankan penerapan nilai perpaduan dalam kalangan warga sekolah agar
dapat memperkukuhkan penghayatan perpaduan yang menjadi tunjang kepada kemakmuran bersama.
Saya berharap Buku Pengurusan Sekolah ini akan menjadi rujukan kepada pengurusan sekolah,
guru-guru dan staf dalam melaksanakan kerja buat kita untuk memastikan sekolah dapat diurus dengan
baik dan lancar. Dalam konteks ini saya masih menekankan betapa perlunya kita SEDAR dalam
melaksanakan tanggungjawab kita sebagai pendidik yang berkualiti dan sentiasa mengamalkan
KEBERSAMAAN dalam melaksanakan segala perancangan yang telah diatur. Elemen ini masih belum
dihayati sepenuhnya oleh warga SMK Malim Nawar. Kecemerlangan sesebuah sekolah adalah
bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh setiap ahli dalam organisasi sekolah itu sendiri.
Sebagai sekolah yang terlibat dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (Kohort 2) maka
sudah sewajar SMK Malim Nawar diuruskan dengan sebaik mungkin sesuai dengan keperluan Program
TS25 yang menekankan Pemimpin Berkesan, Guru Berkualiti dan Sokongan Komuniti Berkualiti
yang menjurus ke arah Sekolah Berkualiti dan Kemenjadian Murid. Hal ini perlu ditambah baik bagi
tahun 2021.
Akhir kata, saya berharap penerbitan buku pengurusan sekolah ini dimanfaatkan sepenuhnya
dalam usaha meningkatkan kualiti pengurusan sekolah yang lebih mantap selari dengan keperluan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Gerak Kerja Kementerian Pendidikan Malaysia dan
Perancangan Strategik Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan
Tahun 2021.
‘SMK MALIM NAWAR WAU! CEMERLANG!’
KECEMERLANGAN ILMU KEHALUSAN BUDI

