Page 7 - Bahasa Melayu Komunikasi Tingkatan 1 KSSMPK KS
P. 7

PENDAHULUAN





                  Buku Teks Bahasa Melayu Komunikasi  (Pendidikan Khas) Tingkatan 1 Sekolah Menengah ini
                  ditulis berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) Bahasa
                  Melayu  Komunikasi  Tingkatan 1. Kandungannya terbahagi kepada sembilan tema utama,
                  iaitu  Keluarga Impian, Mengisi Masa Lapang, Dunia Haiwan, Sekolah Impian, Keselamatan
                  di Jalan Raya, Pengangkutan Awam di Malaysia,  Alam Sekitar,  Hidup Bermasyarakat dan
                  Kewangan dan Keusahawanan.

                      Penulisan buku ini disusun sedemikian untuk membolehkan penggabungjalinan ilmu
                  yang lebih mantap dalam kalangan murid, bersifat boleh berdiri sendiri, serta dapat menjadi
                  panduan  kepada  guru  dalam  melaksanakan  pengajaran  dan  pembelajaran.  Unit-unit
                  dalam buku ini dimulakan dengan halaman rangsangan sebagai set induksi, diikuti dengan
                  isi pembelajaran serta aktiviti dan latihan berdasarkan Standard Pembelajaran. Dalam setiap
                  tema, murid akan didedahkan dengan aktiviti mendengar dan bertutur, membaca dan
                  menulis. Glosari, Indeks, Kod Carian Pantas (QR Code) dan senarai rujukan turut disediakan
                  pada bahagian akhir buku teks ini.

                      Isi pembelajaran, aktiviti dan latihan yang disediakan mengutamakan kemahiran yang
                  perlu dikuasai oleh murid berdasarkan Standard Pembelajaran. Aktiviti dan latihan yang
                  disediakan bertindak sebagai pelengkap kepada kandungan yang telah disampaikan dalam
                  setiap unit. Aktiviti berkumpulan yang disertakan pula dapat menggalakkan pembelajaran
                  kolaboratif.

                      Setiap kandungan pembelajaran berfokus pada konsep Bahasa Melayu Komunikasi
                  yang spesifik dan kemahiran kandungan yang berkaitan. Konsep Bahasa Melayu Komunikasi
                  yang dipilih adalah berdasarkan tahap kebolehan murid, sekali gus memberikan asas yang
                  kukuh kepada murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu dan menyumbang ke arah
                  pembangunan intelektual. Selain konsep Bahasa Melayu Komunikasi, elemen Teknologi
                  Maklumat dan Komunikasi (TMK), Kreativiti dan Inovasi serta Keusahawanan turut diterapkan
                  melalui kandungan dan aktiviti dalam buku ini.


                      Buku ini menggunakan pendekatan penceritaan melalui watak 11 orang murid, iaitu Nurul,
                  Asyraf, Cheah, Kok Leong, Danavi, Loges, Rika, Pijut, Daren, Mili dan Manjit yang dibimbing
                  oleh guru mereka, Cikgu Eda, Cikgu Jeya dan Cikgu Saiful. Watak yang terdapat pada setiap
                  unit dapat membantu murid membuat perkaitan berkenaan dengan kandungan dalam unit
                  tersebut dengan  kandungan  dalam  unit  seterusnya. Melalui pendekatan penceritaan  ini,
                  diharapkan agar murid dapat mengalami keseronokan belajar dan seterusnya menguasai
                  Standard Pembelajaran.









                 iv iv
   2   3   4   5   6   7   8   9   10   11   12