Page 5 - Pendidikan Islam Ting 4 KSSMPK KS
P. 5

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah SWT. Kami bersyukur ke hadrat Allah SWT
                 kerana dengan limpah rahmat dan kurniaan-Nya, buku teks Kurikulum Standard Sekolah
                 Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) Tingkatan 4 berjaya disempurnakan. Buku teks ini
                 dibina berpandukan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) yang
                 disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
                     Buku  teks  ini  meliputi  bidang  al-Quran,  Hadis,  Akidah, Ibadah,  Sirah  dan  Akhlak.
                 Bidang-bidang ini bersepadu antara ilmu, kemahiran dan penghayatan dalam Islam bagi
                 pembentukan insan yang kamil.
                     Kandungan buku ini disusun mengikut tahap penguasaan ilmu murid, selari dan menepati
                 standard pembelajaran bagi setiap tajuk. Aktiviti dan latihan yang disediakan dalam buku ini
                 membolehkan murid menguasai  pelbagai kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi
                 ledakan maklumat pada alaf baharu, juga membantu murid membina daya tahan dan
                 kebolehan menghadapi tekanan dan cabaran hidup bersesuaian dengan Murid Berkeperluan
                 Khas (MBK). Pelbagai aktiviti dan latihan disediakan bagi memberikan peluang kepada murid
                 untuk berkomunikasi, berinteraksi, bekerja dalam pasukan dan memupuk nilai murni dalam diri
                 murid serta menambahkan pengetahuan, meningkatkan kefahaman dan penghayatan murid.
                     Antara kemahiran yang terdapat dalam buku ini termasuklah kemahiran penyelesaian
                 masalah, kemahiran pemikiran kreatif, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran
                 kreativiti serta kemahiran sosial. Guru boleh mengubah suai aktiviti dan latihan yang disediakan
                 agar sesuai dengan tahap kecerdasan, kebolehan dan keadaan persekitaran murid.
                     Bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan murid
                 yang mempunyai Kemahiran Pembelajaran Abad ke-21, buku ini turut memberikan fokus
                 kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Murid didedahkan dengan penggunaan pelbagai
                 alat berfikir seperti peta i-Think dan soalan rangsangan dari aras rendah ke aras tinggi untuk
                 menggalakkan murid berfikir.
                     Kami berharap buku ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak terutamanya para guru
                 dan murid berkeperluan khas. Mudah-mudahan segala usaha penerbitan buku ini beroleh
                 ganjaran pahala daripada Allah SWT.
                 Fadzilah binti Mustapa
                 Norain binti Hussain


                                                                                                       v
   1   2   3   4   5   6   7   8   9   10