Page 5 - SKJT INDICATOR 2022
P. 5

SEJARAH SEKOLAH

               Rancangan Kemajuan Tanah KESEDAR Jeram Tekoh mula dibuka pada awal tahun 1979 untuk
               menempatkan beberapa ratus keluarga yang telah terpilih dari merata daerah di negeri Kelantan.
               Pada awal pemindahan masuk, peneroka tidak membawa bersama anak-anak dan ahli keluarga
               yang lain memandangkan tiadanya kemudahan persekolahan dan juga kemudahan asas yang lain.
               Pada masa itu, peneroka yang telah membawa anak-anak terpaksa menghantar anak mereka
               bersekolah di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi yang terletak lebih kurang 7 kilometer dari RKT
               Kesedar Jeram Tekoh.

               Memandangkan pertambahan penduduk yang semakin pesat pada masa itu, serta masalah jarak
               yang jauh dengan Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi dan masalah perhubungan yang menyulitkan,
               maka mahu tidak mahu sebuah sekolah harus dibina untuk menampung keperluan pendidikan anak-
               anak peneroka pada masa itu. Terdapat 200 keluarga peneroka yang telah berpindah masuk ke
               RKT Kesedar Jeram Tekoh. Bertitik tolak dari itu, maka pihak Kesedar telah mengambil keputusan
               untuk membina sebuah sekolah di RKT Jeram Tekoh.

               Bangunan sekolah telah dibina di atas sebidang tanah seluas 6 ekar pada tahun 1981. Segala
               urusan pembinaan dan kos adalah dibawah pengurusan Kesedar. Bangunan sekolah telah mula
               dibina pada bulan Julai 1981 dan dapat digunakan sepenuhnya pada awal tahun 1982.

               Pada  bulan  Januari  1982,  bangunan  sekolah  tersebut  telah  memulakan  sesi  pengajaran  dan
               pembelajaran dengan diberi nama Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh. Pada masa itu,  Sekolah
               Kebangsaan Jeram Tekoh diletak dibawah pentadbiran Guru Besar Sekolah Kebangsaaan Limau
               Kasturi. Kumpulan murid pertama mendaftar pada masa itu ialah seramai 133 orang. Masalah
               besar pada masa itu ialah kekurangan tenaga pengajar dan untuk mengatasi masalah tersebut,
               beberapa orang sukarelawan yang terdiri daripada penduduk setempat telah ditawarkan untuk
               menjadi tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh pada masa itu.

               Pada bulan Januari 1983, bermulalah era baru bagi Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh di mana
               pentadbirannya tidak lagi diletakkan dibawah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi.
               Seorang Guru Besar telah dihantar untuk mentadbir pengurusan Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh.
               Guru  Besar  tersebut  ialah  En.  Hamzah  Bin  Yussuf.  Dibawah  pentadbiran  beliau,  Sekolah
               Kebangsaan Jeram Tekoh telah mula mencapai kemajuan baik dari segi pencapaian akademik dan
               juga dari segi prasana dan kemudahan fizikal.

               Tahun selepas itu telah menyaksikan Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh semakin berkembang pesat
               selaras dengan kehendak pendidikan semasa. Barisan Guru Besar dan pentadbir silih berganti,
               memberi nafas baru bagi kemajuan Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh.

               Pada bulan Febuari 1989, Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh telah dinaik taraf kepada sekolah
               gred B. Pada masa yang sama juga pihak Jabatan Pendidikan Kelantan telah menghantar seorang
               guru besar, Penolong Kanan 1, Penolong Kanan 2 dan Penolong Kanan Ko Kurikulum.


               Pihak kerajaan tidak mengabaikan kemudahan bagi tujuan pendidikan rakyatnya, maka pada
               tahun 1989, dua blok bangunan baru telah mula dibina sebagai tambahan dengan dibiayai oleh
               Bank Dunia. Bangunan baru ini meliputi bilik darjah, bilik pusat sumber, bilik guru, pejabat, makmal
               sains, bilik muzik, bilik buku teks, bilik mesyuarat, bilik kaunseling dan kantin. Bangunan baru ini
               telah siap dan mula digunakan pada bulan Mac 1990. Dengan adanya bangunan baru yang gah
               itu, bermulalah juga era baru dalam pembangunan pendidikan bagi masyarakat RKT Kesedar
               Jeram Tekoh.





                                                            5
   1   2   3   4   5   6   7   8   9   10