Page 30 - Buku Teks Digital Sejarah KSSM Tingkatan 1
P. 30

Pemahaman dan Pemikiran Kritis



                  6. Sumber sejarah memberikan maklumat dan bukti tentang sesuatu peristiwa. Berdasarkan
                    sumber-sumber yang diberikan, jawab soalan yang berikut.


                  Sumber 1:
                  Buku
                  Pada  bulan  Disember  1944,  inflasi  semakin  meningkat.  Namun  begitu,  tempat-tempat  hiburan
                  dan panggung wayang masih dipenuhi oleh orang ramai. Begitu juga perkhidmatan penyediaan
                  makanan tidak pernah lengang. Ipoh menjadi tempat termurah menjual beras berbanding dengan
                  tempat lain di Malaya. Dalam tempoh dua tahun pendudukan Jepun, Singapura merupakan tempat
                  paling mahal menjual bahan makanan, iaitu 200 hingga 300 peratus lebih tinggi  berbanding dengan
                  di Ipoh sehingga menyebabkan banyak keluarga yang berhijrah ke utara.
                        Inflasi menyulitkan pekerja makan gaji, orang bersara dan guru-guru. Namun, penjaja jalanan,
                  artisan, buruh dan profesional tidak terkesan. Mereka terus menaikkan harga berdasarkan kos sara
                  hidup semasa.
                               (Sumber: Chin Kee Onn, Malaya Upside Down. Kuala Lumpur: Federal Publication Sdn. Bhd., 1976, hlm. 44-45)

                  Sumber 2:
                  Lisan
                  “Mula-mula saya dengar bandar-bandar utama kita dibom. Kemudian, baru Jepun datang.
                  Mereka  merampas makanan  terutama  beras daripada  orang Cina.  Mereka jarang-jarang  sekali
                  mengganggu penduduk peribumi tetapi kami tetap takut kepada mereka. Mereka juga membuka
                  sekolah baru, mengajar bahasa dan lagu Jepun. Jepun juga mengamalkan undang-undang yang
                  ketat, jika melanggar undang-undang akan dikenakan hukuman yang berat. Saya masih ingat, kami
                  menyembunyikan makanan daripada mereka. Lagipun sumber makanan sangat terhad ketika itu.
                  Kami bercucuk tanam untuk mendapatkan makanan atau mencari hasil hutan termasuklah sagu.
                  Malah pakaian diperbuat daripada kulit pokok tekalong.”
                                                  (Orang Sumber: Nujing ak Ngajin, 71 tahun, Kampung Kandis Lama, Bau, Sarawak)

                  Sumber 3:
                  Internet   http://www.arkib.gov.my/web/guest/getir-perjuangan-kemerdekaan

                                Serangan  tentera  Jepun ke  Tanah  Melayu  pada  bulan  Disember  1941 dan
                                pendudukan Jepun secara keseluruhannya di Tanah Melayu bermula bulan Februari
                                1942 hingga bulan September 1945 telah meninggalkan kesan dan pengalaman
                                yang pahit kepada seluruh penduduk di negara ini. Mereka menjadi lebih peka
                                dan sedar terhadap  persekitaran dan perkembangan  yang berlaku.  Jepun turut
                                menyemaikan  semangat  nasionalisme  dalam  kalangan  penduduk Tanah Melayu
                                supaya membenci British melalui cerapan ideologi “Asia untuk Asia”.

                                                                                   (Sumber: Arkib Negara Malaysia)


                  (a) Berdasarkan sumber di atas, klasifikasikan yang manakah sumber primer dan sumber
                      sekunder?
                  (b) Lakarkan peta pemikiran yang sesuai bagi membandingkan sumber primer dan sumber
                      sekunder.  i-Think

                 22
   25   26   27   28   29   30   31   32   33   34   35