Page 5 - TAKWIM20_
P. 5
Seuntai Bicara Daripada Pengetua
Assalamualaikum wbt dan Selamat Sejahtera,
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, Buku Manual Pengurusan
SMK Taman Desa 2 2020 telah dapat disiapkan dengan sempurna. Terlebih dahulu,
sekalung tahniah dan jutaan terima kasih saya tujukan kepada Jawatankuasa Buku Manual
Pengurusan 2020 yang telah bertungkus-lumus menyiapkan buku ini. Buku ini penting sebagai garis
panduan dan rujukan kepada semua warga SMKTD 2 untuk melaksanakan tugas dengan lebih
sistematik. Semua warga SMKTD 2 khususnya para guru dan kaki tangan sokongan perlu meneliti dan
memahami isi kandungannya agar dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Sebagai penjawat
awam, kita bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar kerajaan, khususnya yang berkaitan
dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Berlabuhnya tirai 2019 menyaksikan pelbagai tindakan telah berjaya dilaksanakan untuk
penambahbaikan kualiti kerja di sekolah. Kini kita berada dalam tahun akhir Gelombang Kedua
PPPM (2016-2020) yang memfokuskan kepada peningkatan kualiti sekolah dan kemenjadian murid.
Tiga Gelombang PPPM perlu difahami dan dihayati oleh semua guru. Pentaksiran Berasaskan Sekolah
dalam Pentaksiran Awam bertunjangkan KBAT dan PAK 21 serta KSSM perlu diperkasakan.
Sejajar dengan itu, seharusnya guru-guru perlu melangkah sederap bersama-sama pihak
pentadbiran dan pengurusan untuk meningkatkan kualiti sekolah dalam semua aspek, terutamanya
dalam soal kemenjadian murid, iaitu untuk melahirkan modal insan kelas pertama, yang menjadi
prasyarat utama untuk meningkatkan imej sekolah, sekaligus mampu membentuk masyarakat yang
bertamadun seiring dengan perkembangan semasa.
Saya panjatkan harapan agar kejujuran dan keikhlasan akan menjadi tunjang kepada semua
guru untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang ceria dan gembira,
sehingga menimbulkan keseronokan kepada murid-murid untuk menimba ilmu pengetahuan.
Buatlah sesuatu yang terbaik untuk anak-anak didik kita
berdasarkan kerelaan dan keikhlasan sejati.
Sekian, terima kasih.
……………………………..
ALIZA BINTI MOHD ALI
Pengetua
SMK Taman Desa 2

