Page 3 - Buku Program MSSR MIRI 2020
P. 3
PERUTUSAN PENGERUSI PENGELOLA KEJOHANAN OLAHRAGA
MSSR DAERAH MIRI KE-36, 2020
Salam sejahtera, Salam Sarawak Ibu Pertiwiku dan Salam Menjulang “Pendidikan Negeri
Sarawak”.
Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak dalam menjayakan Kejohanan Olahraga
MSSR Daerah Miri kali ke-36, 2020. Saya amat berbesar hati dan merasa bersyukur kerana
akhirnya kita dapat menganjurkan kejohanan olahraga sekali lagi pada tahun ini yang mana
ianya disertai oleh 45 buah Sekolah Rendah di daerah Miri.
Bidang sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas
fizikal dan mental menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang
merangkumi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Justeru, penganjuran kejohanan ini bukan
semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara, malah perkara yang lebih
penting ialah ia memberikan pendidikan secara tidak lansung kepada murid-murid dan atlet
bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan
pengorbanan. Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang
berterusan. Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-
menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi. Matlamat akhirnya nanti adalah untuk
membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan saling
berkasih-sayang.
Kejohanan yang dijalankan ini merupakan agenda penting dalam kalender Majlis Sukan
Sekolah Rendah Daerah Miri setiap tahun. Murid yang menyerlah kecemerlangannya dalam
kejohanan ini, akan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi bagi mewakili Daerah Miri
ke peringkat Bahagian, Negeri dan seterusnya Kebangsaan.
Dengan kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli
jawatankuasa pengelola yang diterajui oleh sekolah-sekolah rendah Zon Bakong atas komitmen
dan kerjasama yang padu untuk menjayakan Kejohanan Olahraga MSSR Daerah Miri pada kali
ini. Tahniah dan syabas atas sokongan yang padu daripada semua pihak yang seiringan
menjayakan kejohanan kali ini samada secara langsung mahupun tidak langsung. Akhir kata,
saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu untuk
menjayakan Kejohanan Olahraga MSSR Daerah Miri kali ke-36, 2020 ini.
Sekian, terima kasih.
3

