Page 3 - PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024
P. 3

PELAN ANTIRASUAH FELDA 2020-2024

        AMANAT PENGERUSI FELDA






                                              Saya ingin ucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk
                                              menyampaikan sedikit Kata Aluan dalam dokumen Pelan Anti
                                              Rasuah FELDA (FACP) 2020–2024.

                                              Saya juga ingin ucapkan tahniah kepada Unit Integriti FELDA
                                              yang telah menerbitkan Pelan ini sebagai suatu panduan dan
                                              halatuju  dalam  usaha-usaha  memerangi  dan  membanteras
                                              rasuah di FELDA.

                                              Sirah Nabawi merakamkan bahawa Rasulullah SAW adalah
                                              model terunggul kepemimpinan. Baginda menunjukkan
                                              contoh teladan yang terbaik untuk manusia melalui sifat-sifat
                                              Amanah (Di percayai),  Siddiq (Benar),  Tabligh (Menyampaikan)
                                              dan Fatanah (Bijaksana).

        Pemimpin Arab Quraish sendiri kagum dengan ketinggian akhlak dan integriti Baginda Rasulullah SAW
        sehingga memberi gelaran 'al-Amin' kepada Baginda.
        Pada saya, inilah nilai-nilai yang mendasari integriti dalam konteks semasa.

        Dalam hal ini juga, saya teringat akan Firman Allah dalam Surah al Mukminun ayat 8-11 yang bermaksud:

        “Dan orang yang memelihara amanah dan janjinya. Dan orang yang memelihara solatnya, mereka itulah yang akan mewarisi
        Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.”

        Jelas sekali sifat amanah, iaitu bagi mereka yang memeliharanya, akan menjadi antara asbab untuk kita ke
        syurga atau sebaliknya.

        Saya  juga  berpendapat,  integriti  turut  menyentuh  soal  ihsan,  iaitu  kesedaran  bahawa  Allah  sentiasa
        memerhatikan kita walaupun kita tidak dapat melihat Allah.

        Nilai ihsan ini adalah satu bentuk “self monitoring” yang memandu kita untuk sentiasa berkelakuan secara yang
        terbaik kerana kita sedar bahawa sungguhpun Bos tidak melihat, Allah tetap melihat.

        Justeru saya berharap, isi kandungan Pelan ini dapat dilaksanakan dengan sokongan semua pihak.
        Penghasilan Pelan ini bukan sahaja memakan masa dan tenaga malah telah melibatkan  banyak sesi libat
        urus merangkumi pelbagai tahap pemegang taruh dan pihak berkepentingan.
        Oleh itu saya menyeru agar kita semua terus berganding bahu dan tolong-menolong bagi memastikan segala
        inisiatif yang telah digariskan dalam Pelan ini dapat direalisasikan dengan jayanya. Semoga segala usaha kita
        ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

        Tahniah dan Terima kasih.
        “PENEROKA ADALAH PERINTIS, BERANI DAN SUKA CABARAN”
        “PETUGAS BERINTEGRITI, PROAKTIF DAN SEDIA BERBAKTI”



        (DATO’ SERI HAJI IDRIS BIN JUSOH)
        Pengerusi
        Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)

                                                       FELDA ANTI-CORRUPTION PLAN (FACP) 2020–2024  iii
   1   2   3   4   5   6   7   8