Page 183 - Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tingkatan 1
P. 183

Buli di Sekolah



                 Baca petikan di bawah dan bincangkan.
                 Keseronokan seorang murid perempuan  tingkatan satu terpilih memasuki sebuah sekolah
                 berasrama penuh di  Machang  tidak lama, apabila dia menjadi mangsa buli murid senior.  Kejadian
                 yang menimpa murid itu berlaku semasa program suai kenal di sekolah tersebut, menyebabkan
                 remaja berkenaan trauma dan enggan ke sekolah. Mangsa juga kini sakit leher, bengkak di dahi,
                 lebam di beberapa bahagian badan serta sakit tekak sehingga terpaksa mendapatkan rawatan
                 di hospital. Doktor yang merawat mangsa buli ini menyatakan bahawa mangsa terpaksa dipakaikan
                 penyokong leher untuk mengelakkan kecederaan yang dialaminya itu bertambah serius.
                    Mangsa  berkata,  dia dan rakannya  dipaksa oleh empat murid senior yang tidak terlibat
                 dalam program suai kenal. Mereka meminta mangsa dan rakan-rakannya berlari dalam keadaan
                 mata mereka ditutup  dengan tudung. Dia yang ketakutan,  mengikuti arahan  itu dan berlari
                 menyebabkan dia terlanggar sebatang tiang besi sehingga cedera di mukanya.“Empat murid senior
                 itu tiba-tiba datang memegang tangan dan menyuruh saya berlari dalam keadaan membongkok
                 dan mata ditutup. Semasa berlari saya terhantuk pada sebatang tiang dan terjatuh. Ketika itu,
                 saya mula terasa sakit kepala dan pening,” katanya ketika ditemui selepas menerima rawatan di
                 hospital. Seorang murid senior perempuan yang ditugaskan menjaga mereka kemudian datang
                 dan memberikan bantuan.
                    Ibu bapa mangsa telah memindahkan mangsa ke sekolah lain. Ibu mangsa berkata, “Tiada
                 gunanya belajar di sekolah berasrama penuh, jika hati mereka tidak tenteram.”  Ibu mangsa
                 turut kesal kerana pihak sekolah tidak menghantar anaknya ke hospital untuk menerima rawatan
                 meskipun kecederaan yang dialaminya serius.

                                                                               Dipetik dan diubah suai daripada
                                                              Pakejan Maklumat: Buli dalam Kalangan Murid Sekolah
                         Nadi Ilmu                                   Perpustakaan Negara Malaysia, 13 Januari 2011

                     Sekiranya terjadi serangan suatu pihak di mana penyerang lebih berkuasa dan mangsa
                     tidak melawan untuk membalas atau tidak ada reaksi untuk membalas semula, ini
                     dinamakan buli. Kategori buli iaitu secara verbal dan fizikal.
                     1.  Secara verbal  -  Mengejek, mempersendakan, mencemuh.
                     2.  Secara fizikal  -  Menolak,  mengugut,  mengajak  untuk  bergaduh,  memukul  dan
                         mencederakan murid lain.
                     Gengsterisme  bermaksud  kegiatan  gengster  atau  kumpulan kongsi gelap  dalam  suatu
          PEERS
                     kegiatan jenayah. Faktor penyebab perbuatan membuli, dibuli dan gengsterisme:
                     •   Bagi menunjukkan kuasa.
                     •   Bagi kepuasan diri dan memenuhi kehendak sendiri.
                     •   Pengaruh rakan sebaya.
         1
                     •   Pengaruh media massa.




                     1.  Mengapakah murid-murid perlu mengelakkan diri daripada membuli, dibuli
                            dan gengsterisme?
                     2.  Jelaskan cara-cara untuk mengelakkan diri daripada dibuli.
                     3.  Ciptakan satu lirik lagu dan masukkan mesej berkaitan KATAKAN TIDAK  kepada
                         aktiviti membuli, dibuli dan gengsterisme. Nyanyikan lirik lagu itu secara berkumpulan.




                                                                                            8.1.1, 8.1.2, 8.1.3
                174
   178   179   180   181   182   183   184   185   186   187   188