Page 12 - PROGRAM PEMBANGUNAN GURU BAHARU
P. 12
Panduan Pelaksanaan Program kementerian
Pembangunan Guru Baharu pendidikan
(PPGB) 2015 malaysia
pendaHUlUan
Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) ialah salah satu daripada program yang
menyokong pembangunan profesionalisme berterusan Guru Baharu iaitu guru yang pertama
kali memasuki perkhidmatan pendidikan dan ditempatkan di sekolah. Program ini dilaksanakan
berasaskan sekolah (work-based programme) melalui bimbingan berstruktur dan meliputi Fasa
Orientasi, Fasa Pementoran dan Fasa Pembangunan Profesionalisme. Tempoh pelaksanaan
PPGB ini adalah antara satu (1) hingga tiga (3) tahun.
Guru Baharu diletakkan di bawah bimbingan seorang Guru Mentor yang berpengalaman
untuk mempelajari tentang persekitaran dan budaya kerja sekolah serta mendapatkan
pengetahuan yang lebih mendalam berkaitan sistem dan aspirasi pendidikan negara. Guru
Baharu juga berpeluang mendalami bidang pengajaran dan pembelajaran (PdP) berdasarkan
ilmu dan kemahiran sedia ada, mempelajari pengurusan mata pelajaran serta pengurusan
dan pentadbiran sekolah melalui interaksi, tunjuk ajar dan bekerja secara bersama dengan
guru lain seperti Penolong Kanan, Ketua Bidang, Ketua Panitia, Guru Kaunselor serta guru
penasihat kokurikulum, sukan dan persatuan/kelab di sekolah. Guru Baharu juga digalakkan
menggunakan inisiatif kendiri untuk mempelopori tugas, tanggungjawab dan peranan mereka
di sekolah selaras dengan aspirasi pembangunan profesionalisme berterusan bagi setiap guru.
Secara keseluruhannya, PPGB dilaksanakan untuk mengupaya Guru Baharu melahirkan murid
yang berpengetahuan, berfikiran tinggi, berkemahiran memimpin, berkebolehan berkomunikasi
dalam pelbagai bahasa, beretika dan beridentiti nasional.
Rajah 1: Pengenalan Program Pembangunan Guru Baharu
PROGRaM PeMBanGunan
GuRu BahaRu
Program sokongan terhadap pembangunan
profesionalisme dan kompetensi Guru Baharu
Program pembelajaran melalui bimbingan
berstruktur berasaskan sekolah
Program penyesuaian antara ilmu dan
kemahiran sedia ada Guru Baharu
dengan situasi semasa sekolah
11

