Page 4 - AGM SKAD 2022
P. 4
KATA-KATA ALUAN YANG DIPERTUA PIBG
SK ALAM DAMAI SESI 2021/2022
Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatu dan Salam Sejahtera.
Dikesempatan ini terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada Ibu Bapa murid di SKAD yang telah memilih saya menerajui PIBG SKAD bagi
tahun 2021/2022 pada tahun lepas. Di atas kepercayaan ini telah memberi
semangat kepada saya untuk memastikan tugas dan tanggungjawab YDP
dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana
saya telah mendapat kerjasama yang baik dari barisan AJK dari kalangan Ibu Bapa
yang prihatin terhadap kepentingan PIBG di sekolah. Kerjasama pihak sekolah di
bawah naungan Puan Guru Besar, Puan Eleena Haslin Bt Muslim telah memudahkan
tugas saya.
Pengalaman sejak menerajui PIBG SKAD telah mendedahkan kita kepada
satu usaha satu pasukan pendidik yang melaksanakan tugas memberi ilmu kepada
anak kita yang masih di peringkat rendah yang saya amati bukan perkara yang
mudah. Dengan demikian telah mencetuskan idea membantu pihak sekolah tanpa
menambah beban yang mereka sedia tanggung. Dalam melaksanakan kerjasama
dengan pihak sekolah berbagai perkara perlu di ambil kira kerana pihak sekolah
melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut SOP dan pendekatan yang
sedia ada. PIBG mempunyai had dan tidak boleh menganggu dengan urusan
pentadbiran sekolah. Namun kebanyakkan usaha dapat dicapai persetujuan
dengan baik.
Sesungguhnya, PIBG merupakan pentas dan wahana bagi pihak sekolah dan
para ibu bapa untuk berkolaborasi dalam menjayakan pelbagai program demi
kepentingan bersama. Malah jalinan dan jaringan hubungan umpama aur dengan
tebing antara ibu bapa dengan pihak sekolah merupakan resepi kejayaan
gemilang sesuatu sekolah. Marilah kita sama-sama berusaha bersungguh-sungguh
menyemai dan mencanai golongan muda ini supaya menjadi generasi yang hebat.
Kelak jiwa-jiwa kecil ini akan tegak berdikari dan berhati waja sebagai pemimpin.
Setakat ini saya rasa pihak sekolah selesa dengan bantuan dan kerjasama PIBG
yang juga telah mengamalkan perbelanjaan berhemah.
Akhirnya saya memohon kepada semua ibu bapa murid supaya jangan gagal
menyempurnakan sumbangan ke tabung PIBG SKAD. Sumbangan ini sangat perlu
dan akan digunakan untuk menjana kecemerlangan murid SKAD ke tahap yang
lebih tinggi lagi, Inshaa Allah.
“Anak Kita, Sekolah Kita, Tanggungjawab Kita”
Sekian, terima kasih.
Khairul Hazamy bin Abd Ghani
YDP PIBG Sesi 2021/2022
4

